OSLO - Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed diumumkan penerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun ini berikutan usaha beliau menyelesaikan konflik berlarutan dengan negara jiran, Eritrea.
"Abiy menerima penghormatan berikutan usahanya untuk mencapai keamanan dan kerjasama antarabangsa, khususnya inisiatif dalam menyelesaikan konflik sempadan dengan Eritrea," kata Jawatankuasa Nobel di Oslo, Norway.
Anugerah tersebut dilihat sebagai lonjakan semangat kepada Ahmed yang berdepan isu keganasan etnik menjelang Pilihan Raya Parlimen pada bulan Mei tahun depan.
"Sebagai satu negara kami berasa sangat bangga," kata pejabat Ahmed di laman Twitter sambil mengatakan anugerah terbabit merupakan testimoni kepada cita-cita perpaduan, kerjasama dan kesatuan bersama yang dipromosikan Perdana Menteri berkenaan selama ini.
Sejak memegang tampuk pemerintahan pada April 2018, pemimpin berusia 43 tahun itu mengejar dasar yang berpotensi meningkatkan masyarakat negaranya susulan pergolakan selama bertahun-tahun.
Pada 9 Julai 2018, susulan pertemuan bersejarah di ibu negara Eritrea, Asmara, Ahmed dan Presiden Eritrea, Isaias Afwerki secara rasmi menamatkan perang selama 20 tahun antara kedua-dua negara Afrika itu berhubung konflik sempadan tahun 1998-2000.
Difahamkan, Jawatankuasa Nobel terpaksa memilih daripada lebih 300 pencalonan pada tahun ini.
Tahun lalu, anugerah berprestij itu diberikan kepada seorang doktor dari Republik Demokratik Congo, Denis Mukwege dan seorang wanita etnik Yazidi Nadia Murad, atas usaha mereka membanteras keganasan seksual sebagai senjata dalam mana-mana peperangan atau konflik di seluruh dunia. - AFP