BANTING - [DIKEMASKINI] Seorang pengusaha kebun sayur warga Bangladesh ditemui mati berhampiran kolam di kebun sayurnya di Jalan Tali Air, Dusun Durian, di sini semalam.
Kejadian itu disedari oleh tunang mangsa yang juga warga tempatan selepas gagal menghubungi mangsa sebelum bergegas ke tempat kerja mangsa di lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, mangsa berusia 35 tahun bagaimanapun tidak dijumpai sebelum satu laporan polis dibuat oleh tunangnya itu di Balai Polis Banting.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati, lokasi kebun tersebut adalah merupakan sebuah kebun labu air.
"Dengan dibantu pihak Bomba Banting, pemeriksaan pada kolam tersebut telah menjumpai motosikal dan sebuah kereta sorong dipercayai milik mangsa.
"Pemeriksaan lanjut oleh unit anjing pengesan (K9) kemudian berjaya menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring di tepi semak kira-kira 100 meter dari kolam," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.
Katanya, susulan itu, kira-kira jam 5 petang, tiga lelaki tempatan berusia 29 hingga 34 tahun telah ditahan di sekitar Banting.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian. Ketiga-tiga suspek itu kini direman tujuh hari sehingga Jumaat depan bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.