Ragbi Piala Agong: Kelantan diingatkan jangan leka

Iklan
Aksi pemain Kelantan, Muhammad Hafzan Bakri ketika menentang Kedah pada aksi Divisyen Premier pada 5 Oktober lalu. - Foto Fuad Nizam (Tigers Super Sports)

PEMAIN Kelantan diingatkan supaya tidak berasa selesa sebaliknya berusaha mengekalkan momentum kemenangan sebelum ini menjelang kunjungan menentang Johor pada saingan Liga Premier Ragbi Piala Agong di Stadium Mini Kota Jaya, Kota Tinggi petang ini.

Pengendali Kelantan, Hafiz Mat Nor berkata, Johor yang tewas pada perlawanan pertama sebelum ini pastinya tidak akan memberikan laluan mudah kepada pemain Kelantan.

Iklan
Iklan

"Jadi saya mahu semua pemain Kelantan mengekalkan semangat juang tinggi seperti ketika menewaskan Kedah tempoh hari. Tapi suka saya ingatkan kepada pemain jangan sekali mengambil mudah dan leka semasa perlawanan kerana ia boleh menyebabkan kita berputih mata.

"Pemain Kelantan kena mantapkan corak permainan sebagai satu unit baik ketika menyerang dan bertahan. Biarpun kita hadir tanpa pemain import tapi saya percaya sekiranya kita beraksi sebagai satu unit dengan kerjasama padu kita boleh menghadirkan keputusan positif," katanya ketika dihubungi.

Iklan

Kelantan menyingkap kempen Liga Premier Piala Agong langkah kanan setelah membenam cabaran Kedah 69-0 di Padang A, Universiti Putra Malaysia pada 5 Oktober lalu.

Mengakui skuad pantai timur kendaliannya itu tampil serba kekurangan musim ini tanpa kelibat import serta penghijrahan beberapa pemain ke pasukan lain, namun Hafiz bangga dengan komitmen diberikan pemain-pemain muda Kelantan.

Iklan

"Saingan musim ini kami juga kehilangan pemain seperti Muhammad Ameer Nasrun Zulkifle Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi, Dzafran Asyraaf Zainuddin, Muhammad Hisham Rasli, Muhammad Hezry dan Sofian Kamil yang terikat dengan komitmen bersama Rimau 7s untuk ke Sukan SEA Filipina.

"Tapi kehadiran beberapa pemain muda Kelantan berjaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain-pemain sebelum ini. Kami juga mudah blend pemain-pemain ini mengikut taktikal yang dirancang dan mereka berjaya membuktikannya ketika menentang Kedah ditambah dengan kemahiran dan kesefahaman yang sudah mantap dalam kalangan pemain. Cumanya aspek kecergasan pemain-pemain perlu di tingkatkan," katanya.