Hutan paya bakau diancam kemusnahan

Iklan
Program Penanaman Bakau Sempena Memperingati Tragedi Tsunami 2004 di Kuala Tunjang, Kerpan, Jerlun diharapkan mampu memberi impak positif untuk jangka masa panjang. Gambar kecil, Zulkifli Yusuf.

ALOR SETAR - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Sahabat Alam Malaysia memberikan amaran bahawa lebih 50 peratus hutan paya bakau di Semenanjung Malaysia diancam dan sedang mengalami kemusnahan.

Pegawai Luar Sahabat Alam Malaysia, Zulkifli Yusuf berkata, peratusan tersebut semakin meningkat sejak 40 tahun lalu akibat pembangunan yang tidak menitikberatkan kepentingan menjaga ekosistem semula jadi di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masalah tersebut antara punca utama yang dikenal pasti kepada kepupusan sumber perikanan dan menjadi tempat golongan nelayan mencari rezeki pada setiap hari.

"Kami bukan sahaja bagi tumpuan pada masalah alam sekitar yang sedang berlaku, tapi juga beri perhatian kepada punca-punca termasuklah masalah kepupusan sumber perikanan yang berlaku pada hari ini.

Iklan

"Apa yang kita lihat peranan hutan paya bakau kepada nelayan dan juga sumber laut merupakan satu yang sangat penting kepada dua elemen ini. Kami bimbang kerana masalah kepupusan pokok bakau pada hari ini di Malaysia boleh dikatakan dalam keadaan serius," katanya kepada media selepas Program Penanaman Bakau Sempena Memperingati Tragedi Tsunami 2004 di Kuala Tunjang, Kerpan, Jerlun, dekat sini baru-baru ini.

Zulkifli berkata, para perancang pembangunan perlu memberikan perhatian serius kepada perkara ini kerana ancaman tersebut juga mampu memberi kesan kepada perairan negara akibat hakisan pantai.

Iklan

Menurutnya, sebagai NGO alam sekitar, pihaknya akan terus bersama masyarakat nelayan membendung gejala ancaman dari kepupusan termasuk bergotong-royong memulihkan ekosistem tanaman pokok bakau daripada mengalami kemusnahan.

"Program tanam bakau diharapkan mampu memberi manfaat kepada penjagaan alam sekitar dan juga kepada sumber pendapatan nelayan melalui sumber laut ini untuk tempoh panjang," katanya.