LTTE: Polis ada bukti sebelum lakukan tangkapan

Iklan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kiri) melakukan 'flag off' pada Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara PDRM 2019 di Ibu Pejabat Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan polis mempunyai bukti sebelum melakukan penahanan terhadap individu-individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan pihaknya bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya dan ia tiada kaitan dengan isu politik, kaum mahupun agama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis juga akan mengambil tindakan terhadap mana- mana individu yang terlibat dengan kumpulan keganasan tidak kira pemimpin politik atau sebaliknya.

"Kita mengambil pendirian apa juga kegiatan yang menjejaskan keselamatan negara seperti mana polis mengambil tindakan kepada kumpulan Jemaah Islamiah (JI), al-Qaeda, Daesh dan Sikh.

Iklan

Abdul Hamid berkata, siasatan yang dijalankan polis adalah adil dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) tanpa mengira latar belakang sama ada pemimpin politik atau sebaliknya.

"Segala bentuk tindakan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa di mana perkara itu akan diteliti dan disiasat sebelum menunggu laporan selanjutnya.

Iklan
Abdul Hamid (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pegawai dan anggotanya dalam Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat PDRM 2019 di Bukit Aman hari ini.

"Saya beri jaminan kepada mereka yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan adalah bagi menghentikan kegiatan itu dari terus ke peringkat yang berbahaya seperti pengebom berani mati. Kita cuba hentikan dan ambil tindakan untuk memulihkannya," katanya.

Beliau turut menafikan tuduhan mengatakan PDRM menafikan hak individu ditahan malah mereka ditahan diberi hak mengikut peruntukan undang-undang.

"Kita tidak mahu insiden seperti serangan terhadap Menteri Hal Ehwal Keselamatan, Perundangan dan Politik Indonesia, Jeneral Wiranto berlaku di sini (Malaysia). Segala bentuk keganasan akan kita tangani," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis sahkan dua ADUN antara tujuh ditahan terlibat LTTE

Kelmarin, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan dalam operasi khas dilancarkan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak bermula jam 9 pagi hingga jam 2 petang selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kedua-dua ADUN terbabit dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit, selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu.