ISKANDAR PUTERI - Polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kerana mencuri besi landasan dan komponen kereta api di Stesen KTM Kampung Tiram Duku, Tanjung Kupang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek dipercayai menceroboh masuk ke stesen berkenaan dengan lima lagi lelaki lain namun hanya dirinya gagal meloloskan diri.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, tangkapan berjaya dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada polis bantuan yang sedang bertugas di stesen berkenaan.
"Antara barang yang dirampas bersama suspek ditahan adalah dua unit tangga besi, dua unit batang besi, satu unit pemutar skru, tiga spanar pelbagai saiz dan satu batang aloi.
"Suspek yang tidak memiliki kad pengenalan itu adalah warga tempatan dipercayai berusia 40 tahun dan tidak bekerja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan, Seksyen 64(1)(a) Akta Keretapi 1991 dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara (PPN).
"Pengadu (polis bantuan) yang bertugas ketika itu membawa tangkapan dan barang dirampas ke Balai Polis Tanjung Kupang, di sini untuk tindakan selanjutnya," katanya.