IPOH - UMNO menganggap pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diteruskan pada Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam sebagai 'dedak basah'.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai dedak oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, pengekalan BSH pada Belanjawan 2020 memperlihatkan bahawa selama ini kerajaan PH dibentuk dengan fitnah apabila berulang kali mengatakan bahawa pemberian BR1M kepada rakyat sebagai dedak.
"Kita tidak berhasrat untuk menggunakan pendekatan sama sebab saya amat yakin bahawa mana-mana kerajaan yang dibentuk atas fitnah, rasa kebencian, mahu menjatuhkan, mereka juga akan jatuh dengan fitnah yang dibuat oleh mereka sendiri. Tanda-tanda ini telah ada.
Hadir sama pada konvensyen berkenaan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada pembentangan Belanjawan 2020 semalam, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 bilion bagi BSH dan memperluaskan skim itu meliputi 1.1 juta individu bujang berumur melebihi 40 tahun yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, selain itu bagi orang kurang upaya (OKU) berumur 18 tahun dan ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan juga layak menerima bayaran BSH.
ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2020: 1.1 juta individu bujang terima manfaat BSH