BACHOK - Kegagalan Kelantan mendapat bayaran tuntutan royalti petroleum sehingga ke hari ini tidak boleh dikaitkan dengan diskriminasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap negeri itu.
Sebaliknya, Pengerusi PH Kelantan, Senator Datuk Husam Musa berkata, sekiranya isu terbabit bersangkut paut dengan masalah teknikal sepatutnya perkara itu perlu segera dikaji oleh kerajaan Kelantan.
Menurutnya, sekiranya kerajaan Pusat diskriminasi sepatutnya Terengganu yang perlu dibayar dengan jumlah lebih besar dari Kelantan itu juga tidak akan menerima pembayarannya.
"Dalam hal ini kerajaan (Kelantan) harus membezakan, kerajaan PH tidak mendiskriminasikan kerajaan Kelantan dalam isu royalti dan terbukti di Terengganu ia dibayar penuh.
"Di Kelantan apabila royalti tidak dibayar saya rasa ini ada masalah tertentu dari segi teknikal. Bukan kerana dasar yang tidak mahu bayar,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui sempena perasmian program Penanaman Cili dan Majlis Menandatangani Jual Beli Antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan Persatuan Myorganik dan Mygap (Pergap) di Wakaf Zin, di sini hari ini.
FAMA diwakili Pengurus Operasi Kota Bharu, Ali Luthfei Mohd Adnan manakala Pergap pula ialah Pengurus Pergap Interprise, Mohd Jazni Abdul Rahman dan hadir sama, Timbalan Pengarah FAMA Negeri (Operasi), Mohd Fadlee Hassan.
Sehari sebelum Belanjawan 2020, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengharapkan menerusi pembentangan tersebut, Kelantan akan mendapat royalti minyak kerana negeri itu sudah memenuhi permintaan kerajaan Pusat termasuk menarik balik saman.
Dalam perkembangan sama, Husam juga sebagai bekas Exco Kanan Kerajaan Kelantan ketika mana tuntutan royalti itu dibuat, berjanji akan sentiasa menyokong sebarang usaha untuk merealisasikan hasrat negeri itu.
"Saya pernah memberikan tawaran sekiranya khidmat saya diperlukan untuk rundingan mana-mana pihak untuk mendapatkan bayaran royalti tetapi ditolak.
"Kerajaan negeri mempunyai pakar mereka sendiri dan saya yakin mereka ini mampu menguruskan tuntutan dengan baik,” katanya.