ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menyifatkan pengumuman kerajaan pusat meneruskan projek Sistem Rapid Transit (RTS) sebagai berita baik.
Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, projek tersebut akan membantu Johor dalam sektor perdagangan.
"Projek RTS ini sangat penting. Selama ini siapa pun dalam kerajaan Johor termasuk Menteri Besar (Datuk Dr Sahruddin Jamal) memang senada menyokong RTS dibina di Johor.
"Apabila RTS ini siap, ia akan membantu dari segi sektor perdagangan di mana peniaga boleh keluar dan masuk kemudian membantu dari segi pelancongan.
"Sebab pelancong mungkin tak nak datang sebab jalan sesak di Johor jadi dengan ada RTS, tiada lagi isu. Malah pelancong boleh berhenti di Changi dan naik MRT sampai ke Johor," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pembukaan pasaraya Ben's Independent Grocer (B.I.G.) di Medini Mall, di sini hari ini.
Jimmy berkata, projek RTS itu dijangka mampu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor sekaligus pengurangan penggunaan kenderaan keluar dan masuk negeri ini.
"Sebab sekarang hampir 300,000 setiap hari akan menggunakan laluan di Tambak Johor, pekerja ada, pelajar pun ada.
"Kita berharap nanti sampai tahap tidak lagi gunakan kereta sebaliknya guna RTS yang berkapasiti boleh membawa 10,000 setiap satu jam.
"Apabila kurang guna kenderaan, kesesakan itu dapat dikurangkan. Itulah yang diharapkan oleh semua orang di Johor," katanya.
Beliau berkata, RTS juga memberi ruang tarikan kepada pelabur luar untuk memilih negeri Johor susulan perhubungan laluan yang lebih singkat dengan Singapura.
"Apabila kita membuat pelaburan di luar negeri, mereka juga mahu melihat perhubungan laluan yang ada.
"Jadi dengan ada RTS mereka akan lebih tertarik kerana mereka boleh ke Johor dengan mudah dan masa yang singkat. Mereka akan lebih utamakan Johor sebagai tempat pelaburan," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik pengumuman kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua dengan menambah 50 lagi kaunter bagi penunggang motosikal.
"Saya rasa itu langkah penting di mana kerajaan negeri memang sering menyebut tentang kepentingan untuk menyelesaikan masalah ini, jadi Kerajaan Negeri Johor lega sedikitlah.
"Saya harap usaha ini dapat mengurangkan isu kesesakan di Tambak Johor," katanya.