Satu-satunya murid tahun satu...

Iklan
Muhammad Amirul, satu-satunya murid tahun 1 yang didaftafkan di SK Tanjong Jawa, di sini, bagi sesi persekolahan 2019.
SABAK BERNAM - Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Jawa mencatatkan hanya seorang murid tahun satu didaftarkan di sekolah itu pada sesi persekolahan tahun 2019, pagi tadi.

Guru Besarnya, Khaire Md Zen berkata, murid yang memulakan hari pertama persekolahan di sekolah itu ialah, Muhammad Amirul Hakimi Bahari, 7.

Menurutnya, Muhammad Amirul turut mempunyai dua kakak perempuan di sekolah sama iaitu Siti Nurul Aina Syafiwah Bahari, 9 dan Siti Nurul Anisya Huda Bahari, 10.

"Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) dengan seramai 16 murid didaftarkan pada tahun ini.

"Jumlah murid berdaftar tahun ini juga sama seperti sesi persekolahan 2018," katanya kepada Sinar Harian.

Khaire berkata, selain seorang murid tahun satu, sekolah itu menerima seramai dua murid tahun dua, tahun tiga (3), tahun empat (4), tahun lima (3) dan tahun enam (3).

Katanya, pecahan mengikut jantina pula, 10 lelaki dan enam perempuan dengan seramai sembilan tenaga pengajar di sekolah itu.

Menurut Khaire, sekolah itu dijangka hanya menerima seramai enam murid sahaja pada tahun 2024.

"Berdasarkan statistik yang dikenal pasti, murid di sekolah ini pada tahun tersebut (2024) hanya berjumlah enam murid sahaja iaitu seorang murid bagi setiap tahun.

"Bagaimanapun, jika ada perpindahan penduduk ke kampung berhampiran, mungkin jumlah itu bertambah," katanya.

Katanya, meskipun bilangan murid kecil, komitmen guru tidak berbelah bahagi kerana bertanggungjawab untuk memastikan murid mencapai prestasi baik dalam pelajaran.

"Sekolah ini berjaya mengekalkan prestasi lulus 100 peratus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sejak lima tahun lalu," katanya.