Bajet inklusif tapi ada isu perlu ditangani sebaiknya

Iklan
Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat kelmarin.


SHAH ALAM - Belanjawan 2020 disifatkan sebagai bajet inklusif yang merangkumi setiap sektor dan keprihatinan ke atas semua rakyat, namun terdapat beberapa isu dalam negara yang tidak disebut dalam bajet perlu ditangani sebaiknya.

Pengurus Pembangunan Pusat Pengajian Perniagaan Putra, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, antaranya jumlah perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan sebanyak 21 peratus dilihat membimbangkan kerana ia peratusan agak tinggi berbanding beberapa tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Sudah tentu ini akan meningkatkan beban hutang kerajaan Persekutuan yang pada masa ini masih belum turun-turun lagi.

"Sekiranya sesuatu berlaku di peringkat global menyebabkan krisis kewangan, ada kemungkinan berlakunya kesukaran untuk memenuhi komitmen hutang tersebut dan ia bukan sahaja memberi kesan kepada kerajaan, malah melibatkan isi rumah dan perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, sehubungan itu, reformasi ke atas sistem monetari harus dilakukan dengan mewujudkan perbankan awam yang boleh mengawal lambakan kredit dan juga menambat mata wang ringgit dengan komoditi tertentu.

"Ia perlu dibuat supaya tidak mudah dipengaruhi oleh para spekulator. Dalam masa sama, negara harus berhati-hati dengan perbelanjaan yang sentiasa melebihi pendapatan kerana komitmen hutang boleh memerangkap negara jika berlaku kemelesetan ekonomi,” katanya.

Iklan

Sementara itu, katanya, dari sudut pengumuman belanjawan, beliau mengakui banyak inisiatif dan insentif akan dilancarkan merangkumi bukan sahaja untuk kepentingan golongan isu rumah berpendapatan rendah (B40), malah turut melibatkan M40.

"Belanjawan dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kelmarin turut memperlihatkan komitmen kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan produktiviti negara.

"Keazaman kerajaan untuk menggalakkan usahawan menceburi industri baharu terutama dalam ekonomi digital dan 5G harus dipuji kerana penting bagi negara untuk tidak bergantung kepada industri sedia ada dan harus kekal berdaya saing dalam era IR4.0 (Revolusi Industri 4.0),” katanya.

Ahmed Razman berkata, dengan sektor pendidikan kekal menerima agihan terbanyak, ia membuktikan komitmen kerajaan untuk membentuk modal insan yang lebih berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.