Tiada rombakan besar dalam skuad Harimau Malaya

Iklan
Cheng Hoe. -Foto Football Association of Malaysia (Official)

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi bayangan tidak akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap barisan pemain kebangsaan bagi menghadapi Thailand bulan depan.

Menurutnya, setakat ini beliau masih berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain negara sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berlangsung.

Iklan
Iklan

Malaysia akan menerima kunjungan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, 14 Nov depan bagi perlawanan keempat kumpulan G.

"Saya rasa pemain-pemain utama dalam pasukan kita akan kekal cuma mungkin kalau ada rombakan pun mungkin membabitkan satu atau dua pemain sahaja.

Iklan

"Kita juga ada lebih tiga minggu untuk membuat persiapan dan saya harap segalanya akan berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui pada perlawanan persahabatan di antara Malaysian Chinese Legend dan Perak Chinese All Star di Padang Perak Chinese Recreation Centre (PCRC), di sini hari ini.

Malaysia kini mengumpul tiga mata dan menduduki tangga keempat Kumpulan G selepas mengharungi tiga perlawanan.

Iklan

Selain itu, Cheng Hoe berharap pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih dapat sembuh secepat mungkin daripada kecederaan buku lali yang dialami bagi menambah kembali kekuatan Harimau Malaya terutama di bahagian tengah pasukan.

"Kita sememangnya menagih aksi Azam yang menjadi antara pemain penting dalam pasukan. Cuma sekarang ini kena tengok secepat mana dia dapat pulih daripada kecederaannya," katanya.

Mengulas aksi bertemu Thailand, Cheng Hoe berkata, ia adalah perlawanan yang amat penting untuk skuad negara mengutip mata penuh sekali gus dapat memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan G.

"Kita tidak boleh sia-siakan peluang ini lebih-lebih lagi sebelum ini kita dah kalah kepada Vietnam jadi ia sedikit sebanyak telah menjejas kita punya langkah ke peringkat ketiga dalam kelayakan Piala Dunia,” katanya. - Bernama