Adakah dunia kewartawanan dah mati?

Iklan
Gambar hiasan - Foto Siti Shahroamirah Shaharman

SAYA menerima panggilan daripada alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM yang lebih dikenali sebagai 'masscomm' bertanya kalau ada kerja kosong.

Bingung, lalu saya bertanya kembali kepada bekas pelajar saya apa sebenarnya berlaku. Menurutnya, Utusan Melayu dah 'tutup kedai'.

Iklan
Iklan

Saya tergamam apabila bekas pelajar itu mengatakan isterinya tinggal menunggu masa untuk bersalin tetapi tiba-tiba beliau diberhentikan pada 9 Oktober.

Begitulah yang dapat menggambarkan nasib kakitangan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad yang menamatkan operasinya pada Rabu lalu yang mengundang simpati ramai pihak.

Iklan

Mereka seolah-olah dihalau dari tempat mencari rezeki dalam keadaan yang cukup memilukan. Perkara itu disahkan menerusi satu memorandum pekeliling yang dikeluarkan pada Rabu pagi itu.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, operasi syarikat yang bermula sejak 80 tahun lalu itu semakin merosot sejak Mei 2018. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan namun ia menemui jalan buntu.

Iklan

Syarikat juga telah berusaha menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal bagi mendapatkan aliran tunai mencukup, namun usaha itu gagal kerana edaran harian Utusan Malaysia dan Kosmo semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan gagal dicapai sekali gus menyebabkan aliran tunai semakin tenat.

Keadaan itu juga menyebabkan syarikat gagal membayar gaji pekerja mengikut masa, hutang juga tidak dapat dijelaskan sehingga berlaku tunggakan, malah syarikat itu turut berhadapan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang.

Maka sejarah terpahat bahawa, Utusan Melayu (M) Berhad, akhbar Melayu yang telah diwujudkan sejak 1939 dihentikan operasi secara rasmi bermula 9 Oktober 2019.

Cabaran

Sesuatu mestilah dilakukan oleh pihak berwajib untuk membela kebajikan warga syarikat yang diberhentikan serta-merta.

Harapan agar ada sinar untuk mereka ini diberikan peluang pekerjaan dan juga imbuhan setimpal dengan pengobanan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada dunia kewartawanan selama ini.

Kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku di Utusan Melayu. Adakah akan ada akhbar yang juga akan ditutup selepas ini? Lalu terlintas dibenak pemikiran kita, masih relevan lagikah dunia kewartawanan sekarang ini? Adakah dunia kewartawan sudah mati?

Saya teringat apa yang diungkapkan oleh Jeff Jarvis, penulis buku What Would Google Do? yang mengatakan:"Model akhbar yang lama sudah mati." Ya, tetapi berita tidak mati, dan tidak akan mati.

Itulah yang menjadi cabaran media masa kini, baik sebuah akhbar, saluran berita televisyen mahupun laman web berita. Cabaran itu baru saja bermula.

Gambar hiasan - Foto Siti Shahroamirah Shaharman

Begitu juga menurut Bill Kovach dan Tom Rosenstiel dalam buku mereka yang penting tentang kewartawanan, The Elements of Journalism: What Newspeople Should Know and The Public Should Expect menyatakan bahawa manusia menyampaikan berita dan cerita sejak zaman batu.

Bagaimanapun, caranya mungkin berbeza tetapi asasnya sama. Masih berbicara tentang pentingnya mempertahankan kredibiliti dan perlunya sesuatu berita disahkan.

Pada masa sama, muncul media baharu yang dipacu kemajuan teknologi. Kemunculan media baharu itu menjadi lebih parah selepas Apple mula memperkenalkan iPad pada April 2010.

Orang mula mengakses berita di mana sahaja, tanpa mengira tempat. Tidak perlu lagi membeli akhbar di kedai. Pasaran akhbar mula goyah. Internet terus jadi sumber utama penyaluran berita. Tiada lagi sempadan, kita boleh menikmati berita seluruh dunia dengan percuma.

Kesannya, operasi syarikat akhbar terjejas. Syarikat akhbar menyusut dan terpaksa dikaji semula dan lebih ramai pekerja terpaksa diberhentikan.

Pada masa sama, unit baharu khusus untuk mempersembahkan berita dalam format multimedia dan atas talian dibentuk dan kelompok baharu wartawan serta pengarang diambil bekerja.

Kini wartawan tidak lagi berperanan sebagai 'penjaga pintu gerbang' (gate keeper) maklumat. Sekarang ini kita boleh menikmati begitu banyak maklumat, baik tentang peristiwa mahupun sejarah, di media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook. Maklumat dan data bahkan lebih cepat menyebar di media sosial. Semua orang mempraktikkan kewartawanan melalui media sosial. Seolah-olah semua orang adalah 'wartawan' dan memiliki akhbarnya tersendiri.

***Profesor Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA