HULU LANGAT - Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al-Najah memerlukan 450,000 lagi dana untuk kos bangunan dua tingkat bagi asrama pelajar dan guru.
Pengerusinya, Mohammad Asri Abdul Razak berkata, setakat ini sebanyak RM150,000 telah digunakan bagi projek yang kini siap 30 peratus itu.
Menurutnya, bangunan berkenaan bertujuan menempatkan 40 pelajar di tingkat bawah, manakala rumah guru di tingkat atas.
"Anggaran awal projek adalah RM600,000 dan RM150,000 telah digunakan tidak termasuk ada antara bahan-bahan seperti simen dan besi yang disumbangkan oleh orang awam.
"Projek ini dihentikan buat sementara disebabkan kekurangan bajet. Kami sasarkan projek ini mampu disiapkan menjelang tahun hadapan, namun bergantung kepada kemampuan kewangan," katanya.
Katanya, pusat pengajian al-Quran itu ditubuhkan sejak 2009 dan kini mempunyai 60 pelajar terdiri dari sekitar Hulu Langat selain dua dari Singapura dan seorang dari Johor Bharu.
"Maahad tahfiz ini bermula dari rumah papan yang beroperasi dalam keadaan daif dengan tempat tidur, solat, makan dan kelas al-Quran di ruang yang sama.
"Proses pembesaran pengajian al-Quran ini semakin baik dari semasa ke semasa dan sebanyak 95 peratus pembangunannya disumbangkan oleh orang ramai," katanya.
Beliau berkata, pembinaan asrama berkenaan selari dengan permintaan pendaftaran pelajar yang meningkat saban tahun.
"Banyak permohonan terpaksa ditolak atas faktor pusat tahfiz ini sudah di tahap maksimum, namun siapnya asrama ini yang jaraknya 100 meter dari pusat pengajian mampu memuatkan sehingga 40 pelajar lagi," katanya.
Orang awam yang ingin membantu bagi menyegerakan projek bangunan dua tingkat ini boleh menyumbang menerusi Bank Rakyat, 110621002529 atau BSN (1410041000164971).
Sebarang pertanyaan mengenai projek boleh menghubungi Ustaz Jarir di talian 019-2459050 atau Mohammad Asri di 013-3872345.