Cuti bersalin 90 hari bebankan syarikat kecil

Iklan
Shamsuddin Bardan

SHAH ALAM - Tempoh cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021 disifatkan sebagai sesuatu yang akan membebankan syarikat terutama syarikat-syarikat kecil.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, peningkatan tempoh cuti bersalin itu juga dilihat bakal meningkatkan kos operasi syarikat berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebanyakan syarikat di negara ini mempunyai kurang daripada lima pekerja dan apabila penambahan cuti bersalin berkuat kuasa, sudah tentu ia akan menyukarkan operasi syarikat berkenaan.

"Sebenarnya, pihak kami telah membuat pengiraan dan mendapati peningkatan kos adalah sebanyak RM3 bilion.

Iklan

"Jumlah berkenaan sangat besar dan membebankan syarikat terutamanya kepada syarikat mikro (kecil),” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, MEF berpendapat kos itu sepatutnya tidak dibebankan kepada majikan.

Iklan

Menurutnya, kebanyakan negara-negara ASEAN dan negara membangun kos cuti bersalin ditanggung oleh ‘social security’ dan bukannya tanggungjawab majikan semata-mata.

"Situasi ini dilihat berbeza di negara ini kerana sepanjang tempoh cuti bersalin 60 hari dibayar oleh majikan sepenuhnya.

"Dalam situasi ini saya berpendapat tempoh 30 hari tambahan itu juga akan dibebankan kepada majikan," katanya.