Golongan kaya dikhuatiri pindah lebihan pendapatan ke luar negara

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kerajaan mengambil langkah produktif apabila kadar cukai pendapatan kepada golongan berpendapatan melebihi RM2 juta setahun dinaikkan sebanyak dua peratus daripada 28 peratus sebelum ini.

Pakar Ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, penstrukturan semula banjaran cukai itu akan meningkatkan kutipan hasil cukai namun kerajaan berdepan kekangan sekiranya pembayar cukai memindahkan lebihan pendapatan ke negara lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadar cukai pendapatan di negara jiran adalah lebih rendah sekitar 20 peratus berbanding di negara ini bagi golongan berpendapatan tinggi.

"Terdahulu cukai pendapatan ini pada kadar 25 peratus sebelum dinaikkan ke 28 peratus dan dalam Belanjawan 2020, ia dinaikkan lagi sebanyak dua peratus menjadi 30 peratus.

Iklan

"Pada kadar ini dikhuatiri ada pembayar cukai bagi golongan tersebut yang akan mengambil inisiatif memindahkan lebih pendapatan mereka ke negara lain yang mengenakan cukai lebih rendah.

"Justeru pihak yang berkenaan perlu menyediakan insentif tertentu kepada pegawai penyiasat seperti mana dilakukan negara lain agar tiada pembayar cukai berbuat sedemikian,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dr Barjoyai berkata, kerajaan kini mengamalkan sistem pentafsiran bersampel yang memberi ruang kepada pegawai agensi berkaitan melakukan penyiasatan.

Menurutnya, walaupun risiko pembayar cukai ‘melarikan diri’ itu rendah namun usaha mengekang perbuatan tersebut wajar dilaksanakan.

Pada pembentangan belanjawan 2020 semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan penstrukturan cukai pendapatan yang lebih progresif dengan memperkenalkan banjaran baharu bagi pendapatan bercukai melebihi RM2 juta setahun.

Menurutnya, cukai sebanyak 30 peratus dikenakan iaitu kenaikan dua peratus daripada kadar 28 peratus sedia ada.

"Kenaikan ini akan hanya memberi kesan ke atas kira-kira 2,000 orang berpendapatan tinggi di negara ini,” katanya