Apa situasi kebakaran hutan di Amazon?

Iklan
Sebanyak 30,901 kebakaran direkodkan di Amazon pada Ogos lalu.

BRASILIA - Asap tebal menyelubungi kebanyakan bandar di Brazil selepas sebahagian besar hutan hujan Amazon terbakar pada kadar luar biasa sejak tempoh beberapa tahun lalu dan turut mencetuskan kemarahan negara antarabangsa.

Selama beberapa minggu pada Ogos lalu, masyarakat dunia tertumpu kepada respons kerajaan Brazil di bawah pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro.

Iklan
Iklan

Selepas hampir dua bulan, bagaimana keadaan kebakaran itu kini? Dan kenapa masalah itu mungkin menjadi lebih buruk daripada kejadian pertama?

Kebakaran masih melanda Amazon walaupun tidak seteruk sebelum ini.

Iklan

Insiden kebakaran itu mencapai kemuncak pada Ogos hampir tiga kali ganda bersamaan 30,901 kebakaran berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Apa puncanya? Kebakaran hutan di Amazon sebenarnya berlaku ketika musim kering antara Julai dan Oktober pada setiap tahun.

Iklan

Ia boleh disebabkan faktor semula jadi seperti disambar kilat, namun pada tahun ini sebahagian besar kebakaran tersebut dimulakan oleh petani dan pembalak yang mahu membersihkan kawasan pertanian atau padang rumput.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan masyarakat dunia kerana Amazon merupakan hutan hujan terbesar di dunia dan penyimpan karbon yang penting untuk memperlahankan fenomena pemanasan global.

Ia turut menyebabkan protes di kebanyakan bandar utama, ancaman penalti kewangan selain kritikan meluas terhadap dasar alam sekitar Bolsonaro.

Cerrado lebih terjejas berbanding Amazon

Pada akhir Ogos lalu, pemimpin tersebut mengerahkan pasukan tentera ke Amazon dan menguatkuasakan larangan aktiviti pembakaran kawasan pertanian untuk tujuan pembersihan selama 60 hari.

Larangan itu bagaimanapun memberi kesan positif yang mana jumlah kebakaran di hutan hujan tersebut menurun kepada satu pertiga antara Ogos dan September.

Kebakaran itu semakin berkurangan pada bulan ini memandangkan musim tengkujuh sudah bermula.

Hakikatnya, pembakaran hutan hujan bukan menjadi masalah paling besar sebaliknya aktiviti penebangan adalah punca sebenar.

Secara tradisinya, hutan Amazon ditebang dan kemudiannya dibiarkan kering sebelum dibakar.

Menjelang aktiviti pembakaran hutan itu, kegiatan penebangan hutan dilakukan secara berleluasa.

Statistik diperoleh agensi satelit Brazil, Inpe mendapati kira-kira 7,747 kilometer persegi kawasan hutan hujan Amazon telah dibersihkan setakat ini.

Angka sebenar bagaimanapun dipercayai 30 peratus lebih tinggi, sekali gus menjadikan insiden terburuk sejak penebangan hutan di Amazon pada 2008.

Ketika kebakaran semakin berkurangan di Amazon, terdapat 'kisah lain' di kawasan paling rapuh di selatan iaitu Cerrado.

Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menggelar ia sebagai salah satu daripada ekosistem paling terancam di bumi dan lebih banyak kebakaran berlaku di kawasan itu berbanding Amazon pada tahun lalu.

Cerrado adalah salah satu kawasan biodiversiti di dunia yang terdapat kira-kira 40 peratus spesies haiwan dan tumbuhan yang tidak boleh dijumpai di tempat lain.

Menurut data Institut Penyelidikan Alam Sekitar Amazon (Ipam), kira-kira separuh daripada kawasan hutan, tanah lembap dan padang rumput sudah musnah dan didakwa terancam, namun sebahagian besarnya tetap utuh.

Cerrado adalah kira-kira separuh daripada saiz hutan hujan Amazon dan kawasan tanahnya telah musnah pada kadar lebih cepat.

Aktivis pencinta alam sekitar berpendapat respons untuk tempoh jangka pendek tidak mencukupi walaupun Menteri Alam Sekitar Brazil mendakwa mereka telah melakukan usaha terbaik untuk melindungi Amazon.

"Kita memerlukan komitmen serius daripada kerajaan Bolsonaro untuk melindungi hutan Brazil dan komuniti pribumi yang merupakan penjaga sebenar Amazon. Beliau berjanji toleransi sifar terhadap pihak yang melakukan penebangan dan pembakaran secara meluas.

"Tetapi, dasar Bolsonaro hanya retorik dan telah mendorong jenayah seperti itu," kata Pengarah Program Amazon Watch berpusat di Amerika Syarikat, Christian Poirier.

Paraguay, Bolivia juga berdepan masalah sama

Selain kebakaran hutan di Brazil yang menjadi tajuk utama kebanyakan akhbar di seluruh dunia, Paraguay juga berdepan masalah sama.

Negara itu kehilangan berhektar kawasan hutan dilindungi di Pantanal yang merupakan kawasan tanah lembap tropika terbesar di dunia yang turut mengancam biodiversiti.

WWF Paraguay mendakwa ia berpunca daripada aktiviti manusia berikutan para petani membakar kawasan rumput atas alasan untuk meningkatkan kualiti kawasan padang ragut lembu yang mencetuskan kebakaran hutan.

Data agensi satelit Brazil menunjukkan lebih 18,200 kebakaran berlaku di Asuncion pada 2019 yang menunjukkan peningkatan 16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Di Bolivia, beberapa kebakaran dilaporkan dilakukan dengan sengaja dan memusnahkan lebih empat juta hektar kawasan sejak Mei lalu, namun masalah itu mungkin makin berkurangan kerana ketibaan musim tengkujuh.

Minggu lalu, pihak berkuasa memaklumkan kebakaran hutan di bahagian timur berjaya dikawal dan rakaman video turut menunjukkan pasukan bomba di kawasan Chiquitania terjejas teruk melompat gembira.

Kebakaran di negara itu turut mencetuskan protes mega terhadap pentadbiran Presiden Evo Morales yang baru-baru ini meluluskan dekri memberi tempoh tambahan kepada petani untuk membersihkan kawasan pertanian yang diakhiri dengan proses pembakaran. - Agensi