Harga rumah mampu milik masih tinggi

Iklan
Lebih wajar jika kerajaan merendahkan had harga ditetapkan iaitu RM500,000 kepada nilai yang lebih rendah kira-kira RM300,000. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta mengkaji semula inisiatif Skim Pembiayaan Sewa Untuk Memiliki (RTO) yang dimasukkan dalam Belanjawan 2020 kerana harga rumah mampu milik yang ditetapkan sehingga RM500,000 dilihat masih tinggi untuk ramai bakal pembeli.

Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong berkata, walaupun ia dilihat sebagai satu langkah proaktif membuka pintu kepada lebih ramai memiliki rumah, namun lebih wajar jika kerajaan merendahkan had harga ditetapkan iaitu RM500,000 kepada nilai yang lebih rendah kira-kira RM300,000.

Iklan
Iklan

"HBA menyokong penuh tindakan kerajaan memperkenal RTO namun adalah lebih baik sekiranya had itu direndahkan supaya dapat meningkatkan jumlah pembeli mampu membeli rumah yang mereka sewa itu.

"Kita ambil contoh sekiranya harga sebuah rumah sekitar RM500,000, jadi jumlah penyewa yang mampu untuk membelinya kira-kira 20,000 orang, namun jika harganya kira-kira RM300,000, penyewa yang mampu membelinya boleh meningkat sekitar 33,333 orang dan ini lebih menguntungkan kerajaan dan pemaju,” katanya.

Iklan

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 Jumaat lalu berkata, kerajaan akan mengadakan usahasama dengan institusi kewangan untuk melaksanakan RTO bagi membantu mereka yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus dan sukar mendapatkan akses pembiayaan pembelian rumah.

Melalui skim untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 itu, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion.

Iklan

Di bawah skim itu pemohon akan menyewa rumah bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun diberi pilihan untuk membeli rumah kediaman berkenaan pada harga yang ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani.

Kim Loong berkata, dengan had harga yang lebih rendah dan jumlah dana pembiayaan RM10 bilion itu, beliau menjangkakan pihak pemaju akan dapat melihat adanya keperluan untuk membina lebih banyak projek perumahan mampu milik kerana kadar pembelinya yang bertambah seiring penurunan harga hartanah itu.

Sementara itu Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Soam Heng Choon turut menyokong usaha kerajaan memperkenal RTO yang mana ia dilihat berperanan meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, selaras dengan agenda perumahan negara.

Bagi pelanjutan Skim Perumahan Belia pula, Heng Choon berkata, ia dapat memberi manfaat kepada golongan belia yang mencari rumah namun berharap had untuk 10,000 unit rumah akan ditingkatkan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pembeli terutama golongan berpendapatan rendah (B40). - Bernama