JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Seorang wanita ditemui terlantar di ruang tamu rumahnya dalam keadaan tidak tidak bernyawa di Taman Impian Emas tengah malam tadi.
Difahamkan mangsa, Chiong Chan Lin, 63, yang tinggal dengan seorang anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 22 tahun telah meninggal dunia sekitar empat hari lalu.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Saifulizam Mohd Salleh berkata, anaknya OKU itu ditemui pasukan bomba dalam keadaan lapar dan dahaga di bilik air.
"Kejadian dimaklumkan oleh seorang lagi anak mangsa yang datang ke rumah seminggu sekali. Pihak bomba mengambil masa lima minit untuk membuka pintu.
"Ketika ditemui mangsa telah pun meninggal dunia manakala anak OKU dijumpai dalam bilik air dengan keadaan yang lapar dan dahaga.
"Pihak bomba memberikan air minum kepada anak mangsa yang OKU yang dipercayai sudah empat hari tidak makan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang melibatkan sembilan anggota dan dua jentera itu tamat jam 1.37 pagi tadi.
Kejadian tersebut turut disahkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan ahli keluarga, mangsa hanya tinggal berdua bersama anak perempuannya yang OKU dan jarang berkunjung ke rumah saudara-mara.
"Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru," katanya.