PETALING JAYA- Dua rakan masing-masing dihukum penjara 25 hari dan denda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri sekarton minuman keras di sebuah pasar raya, akhir bulan lepas.
Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap penganggur, Abdul Rahman Soleh Habidin Dabalubun, 26, dan buruh, Abd Wahab Jabaei, 53, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri minuman keras jenama 'Tiger' milik pasar raya 99 Speedmart Sdn Bhd bernilai RM126.50 di Jalan Intan 1, Taman Puchong Intan, Puchong, di sini, pada 4.30 petang, 29 Dis 2018.
Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan penjara dua hari sekiranya denda gagal dibayar.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira faktor kekerapan kes curi di pasar raya bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mereka tidak mampu membayar denda selain telah insaf atas perbuatan mereka.
Di mahkamah sama, penganggur Mohammad Aziezir Abdullah, 22, dihukum penjara 14 hari dan denda RM300 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri pelbagai barangan di kedai perkakas rumah antaranya empat unit lampu LED, dua gerudi elektrik dan tiga bilah pisau bernilai keseluruhan RM267.70 milik kedai Mr. DIY, Sunway Pyramid, Bandar Sunway, di sini, pada 2.45 petang, 30 Dis lalu.
Mahkamah memerintahkan Mohammad Aziezir menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 30 Disember tahun lalu dan penjara tiga hari sekiranya denda gagal dibayar.
Alia Sumayyah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira faktor keselamatan dan kepentingan awam namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan perlu menanggung keluarga.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya hendaklah dihukum penjara dengan denda atau sebat.- Bernama