Bakal memasuki musim ketiga tidak lama lagi, Pengurus Besar Televisyen dan Digital, Primeworks Studios, Mas Ayu Ali berkata, sambutan peserta uji bakat untuk musim terbaharu itu sangat memberangsangkan.
Bagaimanapun, pihak produksi berasa risau kerana rata-rata yang hadir mempunyai bakat dalam seni suara, sedangkan ICSYV mahu mencari yang sebaliknya.
"Program ini sebenarnya untuk mereka yang tak boleh menyanyi atau dalam erti kata lain penyamar.
"Kalau nak jadi penyanyi, saya percaya banyak lagi program yang boleh mengetengahkan bakat nyanyian mereka.
"Kami memang mahukan peserta yang betul-betul boleh jadi penyamar,” jelasnya ketika ditemui pada sesi uji bakat tersebut awal pagi tadi.
Sementara itu, uji bakat ICSYV musim ketiga tersebut juga dikatakan paling mendapat perhatian ramai. Malah para peserta uji bakat dikatakan sanggup beratur panjang sehingga 2km menunggu giliran mereka.
Tambah Mas lagi, kehangatan itu mungkin kerana musim terdahulu mereka melihat peserta yang mempunyai suara bagus diberikan hadiah single.
"Tidak dinafikan tahun ini ramai yang akan datang disebabkan mereka nampak peserta ICSYV musim kedua dapat single.
"Selain itu, ramai yang datang kerana penyertaan terbuka kepada mereka yang berumur 15 tahun ke atas,” katanya.