KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat buah bot nelayan asing kerana menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan di Perairan Maritim Negeri Pahang semalam.
Bot terbabit bersama 44 awak-awak dan empat tekong warga Vietnam berusia 17 hingga 51 tahun itu ditahan pada jam 1 tengah hari kira-kira 74 batu nautika dari Kuantan.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Muda Maritim, Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, dua daripada bot nelayan tersebut disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan manakala dua lagi menggunakan nombor pendaftaran asing dipercayai dari Vietnam.
Menurutnya, ketika ditahan bot terbabit membawa hasil tangkapan ikan campur dan hasil laut dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 3.4 tan.
"Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk bot dianggarkan hampir RM 4 Juta.
"Bot bersama nelayan asing yang ditahan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran," katanya.
Zulkarnain berkata, jika disabitkan kesalahan kesemua tekong berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
"Bagi awak-awak, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun," katanya.
Beliau berkata, sehingga hari ini Maritim Negeri Pahang telah melakukan 740 pemeriksaan dan 59 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.
Katanya, orang ramai disaran memberi kerjasama untuk bersama-sama membantu dalam menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi Talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345.