IPOH - Tapak semaian, makmal tisu kultur serta bangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Lahat dekat sini dijangka mengeluarkan 100,000 anak benih buluh berkualiti setiap bulan bermula akhir tahun ini.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, sebanyak lima spesies buluh iaitu Buluh Semantan, Beting, Beti, Betung dan Buluh Hitam yang diluluskan akan ditanam di tapak semaian berkenaan yang ditubuhkan sebagai inisiatif pembangunan industri buluh secara komersial.
"Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menyenaraikan buluh sebagai salah satu spesies di dalam Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) yang menawarkan pinjaman mudah kepada pihak industri yang berminat untuk mengusahakan penanaman buluh daripada lima jenis buluh terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Sambutan Sempena Hari Buluh Sedunia Malaysia 2019 yang diadakan selama dua hari bermula semalam di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Teresa berkata, jumlah eksport buluh dan produk berasaskan buluh Malaysia pada tahun lepas adalah RM9.97 juta dan antara pasaran eksport utamanya adalah Jepun RM2.15 juta diikuti Amerika Syarikat RM1.98 juta dan Singapura RM1.17 juta.
"Berdasarkan potensinya yang baik, saya yakin industri berasaskan buluh di negara ini boleh dikembangkan melalui kerjasama kukuh di dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan, pembangunan standard serta modal insan melibatkan pelbagai pihak.
"Dengan adanya kolaborasi ini, tidak mustahil Malaysia mampu menghasilkan produk bernilai tambah tinggi berasaskan buluh setanding dengan negara China, Jepun dan Korea dalam bidang-bidang berkaitan seperti industri tekstil dan pembinaan," katanya.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, jumlah taburan tertinggi adalah dari spesies buluh betong yang dianggarkan 4.64 juta rumpun di Perak, yang mana jumlahnya lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Justeru, beliau berkata, ia menunjukkan Perak amat berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai hub pembangunan industri perladangan buluh secara komersial di negara ini.
"Tempat-tempat menarik seperti Masjid Buluh di Kuala Kangsar, Bamboo Jungle Adventures di Sungai Siput dan Shahom Valley Resort di Kampar boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang terbaik dalam mempromosikan buluh sebagai satu sumber bahan yang digunapakai bagi pelbagai tujuan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya yakin pembangunan industri buluh dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada masyarakat setempat dan pada masa yang sama menjana sumber pendapatan baharu kepada kerajaan negeri. - Bernama