TEMERLOH - Seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 7 tahun dari Taman Setia Jasa di sini berdepan ujian cukup hebat apabila disahkan menghidap kanser tulang tahun lalu.
Disebabkan kanser tersebut, kaki kiri Mohamad Afif Ilyas Mohd Haidir terpaksa dipotong dan tidak dapat meneruskan persekolahan selepas pembedahan pada Mac lalu.
Ibunya, Rosidah Kamisan, 36, berkata, dia tidak menyangka kesakitan di kaki kiri anak ketiga daripada lima beradik itu akibat terkena sepakan rakan ketika bermain membawa detik hitam sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong.
"Dari kecil dia lincah seperti kanak-kanak lain sehinggalah ketika berusia enam tahun dia mengalami sakit berlarutan di bahagian kaki dan disahkan menghidap kanser tulang (osteosarcoma).
"Pada masa ini dia masih melakukan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan tidak dapat bersekolah kerana tiada kaki palsu," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Menurutnya, buat masa ini, selain rawatan susulan di HKL, anaknya juga perlu berulang-alik ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh serta memerlukan susu khas setiap hari.
"Kami menerima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mulai bulan ini dan selain bantuan zakat sebanyak RM1,000 diterima sekali sebelum ini.
Dalam pada itu Rosidah berkata, keadaan keluarganya bagai jatuh ditimpa tangga apabila suaminya, Mohd Haidir Minin, 36, yang bekerja sebagai pembantu perubatan di Hoshas Temerloh hanya diberikan gaji hari pada masa ini disebabkan banyak mengambil cuti bagi menguruskan anaknya.
Katanya, kekurangan pendapatan suaminya itu menyebabkan mereka sekeluarga terbeban kerana perlu menyara tiga orang anak yang masih bersekolah dan menanggung rawatan susulan anaknya itu.
"Jadi dengan mengharapkan gaji hari yang diberikan sememangnya agak perit apatah lagi untuk berulang ke HKL yang memakan belanja kira-kira RM300 selain susu khas yang perlu dibeli," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Rosidah di talian 019-9485141 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Rosidah Kamisan 06028024880440.