Basmi ideologi pengganas LTTE

Iklan

TATKALA negara berada dalam keadaan aman dan sejahtera, kita dikejutkan dengan berita penahanan tujuh lelaki termasuk dua wakil rakyat masing-masing dari Negeri Sembilan dan Melaka yang dipercayai terlibat dengan Kumpulan Pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Lima individu ditahan di Kuala Lumpur, dua lagi ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di Melaka kerana dipercayai turut terlibat dengan perjuangan LTTE.

Iklan
Iklan

Kesemua suspek berkenaan ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak, mencari dana serta memiliki bahan yang berkaitan kumpulan pengganas yang berpangkalan di Sri Lanka itu.

Berita penahanan itu pastinya menimbulkan rasa gelisah dalam kalangan rakyat negara ini yang baru sahaja meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sejak lebih sebulan lalu.

Iklan

Apatah lagi apabila berita penahanan kesemua suspek berkenaan turut melibatkan dua wakil rakyat yang sebelum ini menerima mandat untuk bergelar pemimpin!

Tambah mengejutkan, kesemua suspek berkenaan ditahan dalam operasi yang dilancarkan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah baru-baru ini hasil risikan dan siasatan yang telah dimulakan sejak November tahun lalu.

Iklan

Bagaimanapun, isu penahanan beberapa individu berkenaan diharap tidak dikaitkan sebagai isu perkauman, agama mahupun politik kerana jelas ia berkaitan dengan isu keselamatan negara.

Dalam hal ini, pujian harus diberikan kepada pihak berkuasa kerana dalam tempoh tidak sampai setahun, risikan dan siasatan yang dijalankan itu nyata berkesan dengan tertangkapnya kesemua individu berkenaan.

Malah, pihak polis juga tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada lagi tangkapan yang akan dibuat selepas ini bagi membantu siasatan.

Untuk rekod, LTTE tersenarai sebagai kumpulan pengganas di 32 negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, India, Sri Lanka dan lain-lain. LTTE juga dikatakan bertanggungjawab atas pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991 lalu.

Penyeludupan dadah

Kumpulan itu juga dilaporkan beroperasi hasil bantuan dana kewangan dari seluruh dunia yang diperoleh daripada kegiatan penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia selain kegiatan klon kad kredit dan pengedaran cakera padat digital (DVD) Tamil ke seberang laut.

Namun apa yang menjadi persoalan kini ialah bagaimana nama LTTE kembali menjadi sebutan setelah sekian lama nama kumpulan yang dilabel pengganas itu tidak diperkatakan di mana-mana sekali pun.

Juga menjadi persoalan, kenapa ia berlaku hari ini setelah pengasas kumpulan pengganas berkenaan, Velupillai Prabhakaran serta beberapa pemimpin tertingginya terperangkap dan ditembak mati dalam satu serang hendap di kawasan Pantai Mullithivu, Sri Lanka pada 18 Mei 2009.

Justeru, tindakan pihak polis melakukan siasatan serta risikan dalam usaha menangani penularan kembali ideologi kumpulan pengganas LTTE ini dilihat sebagai satu tindakan yang tepat dan wajar berterusan.

Tindakan pihak polis yang juga mahu terus mengambil tindakan terhadap mana-mana kegiatan yang menjejaskan keamanan negara termasuk melibatkan kumpulan Jemaah Islamiah (JI), al-Qaeda termasuk Gerakan Militan Al-Dawla Al-Islamiya Fi Iraq Wa Al-Sham (Daesh), sewajarnya terus mendapat sokongan rakyat negara ini.

Jelas, kesemua tindakan berkenaan adalah usaha bagi membendung dan seterusnya membanteras penularan ideologi-ideologi pengganas ini yang boleh memberikan kesan buruk kepada negara.

Berdasarkan laporan, kegiatan pengedaran risalah mengenai kumpulan pengganas ini termasuk usaha merekrut seramai mungkin ahli baharu sebenarnya masih berleluasa dalam usaha bagi mengaktifkan semula kegiatan-kegiatan LTTE di serata dunia termasuklah di negara ini.

Malah, pada era siber ketika ini, pengedaran risalah serta usaha merekrut ahli baharu ini dilihat menjadi semakin mudah dan gerakan kumpulan pengganas ini menjadi lebih tersusun, teratur dan terancang.

Perkara itu terbukti dengan penganjuran program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November 2018 lalu.

Oleh itu, rakyat di negara ini perlu memainkan peranan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu menangani penularan ideologi yang tidak keterlaluan jika dikatakan ‘songsang’ ini.

***Shahrizal Ahmad Zaini ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional