KUANTAN - Barisan kepimpinan dan ahli Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia (KPBPSM) menghargai keprihatinan kerajaan meluluskan pembayaran Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba pada Belanjawan 2020.
Presidennya, Zainal Abidin Nong Chik berkata, melalui elaun khas RM200 sebulan yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng Jumaat lalu akan membangkitkan lagi semangat dan motivasi seluruh anggota bomba dalam melaksanakan tugas kepada masyarakat.
Menurutnya, pengumuman itu juga menunjukkan kerajaan mengambil berat kebajikan dan menghargai pengorbanan semua anggota bomba dalam menjaga kesejahteraan negara melalui penyampaian khidmat kebombaan, keselamatan kebakaran dan khidmat kemanusiaan.
"Elaun ini juga dapat meringankan beban kewangan anggota yang sedang berkhidmat dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.
"Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba ini telah kami perjuangkan sejak tahun 2015 untuk 14,400 anggota bomba seluruh negara dan ia bakal kami kecapi tahun depan," katanya.
Zainal Abidin berkata, beliau mewakili seluruh anggota bomba berterima kasih kepada pimpinan kerajaan yang telah memberi pertimbangan sewajarnya dengan meluluskan pembayaran elaun khas tersebut.
"Saya juga menghargai sokongan masyarakat kepada anggota bomba dalam menjalankan tugas.
"Walaupun ada cemuhan dan teguran, kami sentiasa mengambil perkara ini sebagai satu yang positif untuk membangkitkan semangat dan memperbetulkan mutu penyampaian perkhidmatan dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata, perjuangan KPBPSM tidak akan terhenti dalam menjaga dan membawa suara pekerja kepada pihak jabatan supaya kebajikan ahli sentiasa dilindungi dan dijaga pada tahap yang baik.