Caruman KWSP kurang, jejas pendapatan tabungan

Iklan
Shahir Adnan
SHAH ALAM - Hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja berusia 60 tahun ke atas akan memberikan kesan terhadap pendapatan tabungan majikan kepada golongan itu.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, tindakan kerajaan pada masa ini dilihat seperti mencerminkan ketidakupayaan mereka dalam mentadbir ekonomi negara dengan baik.

"Pemuda Ikatan melihat usaha ini sebenarnya akan menyebabkan kurang pendapatan tabungan diberikan oleh majikan kepada golongan ini.

"Melihat kembali kepada dasar kerajaan yang dibuat pada tahun lepas, kadar caruman sebenarnya dinaikkan daripada 4 peratus kepada 5.5 peratus untuk golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mencadangkan caruman mandatori KWSP untuk majikan dikurangkan kepada empat peratus bermula 1 Januari 2019 ini.

Guan Eng berkata, langkah itu bertujuan bagi menggalakkan peluang pekerjaan untuk golongan berumur 60 tahun ke atas yang disifatkan tidak perlu mencarum sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna golongan tersebut.

Mengulas lanjut, Shahir yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera memaklumkan bahawa hasil simpanan yang lebih melalui KWSP akan dapat membantu golongan ini untuk membiayai kos perubatan atau keperluan sara hidup mereka

"Pemuda Ikatan berharap kerajaan menjaga kebajikan golongan ini dan mereka seharusnya tidak mencerminkan diskriminasi umur di saat menteri-menteri kerajaan PH sibuk melaungkan hak sama rata tanpa diskriminasi kepada semua kaum dan agama,” katanya.