LIPIS - Seorang duda dan buruh ditahan kerana memiliki pil kuda seberat 57.37 gram bernilai RM3,700 dalam serbuan di sebuah kilang papan dekat Padang Tengku awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, serbuan kira-kira jam 2.30 pagi itu disertai anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lipis.
Menurutnya, ketika pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua lelaki berusia 31 dan 24 tahun itu didapati tidak menemui apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.
"Namun selepas memeriksa sebuah beg hitam jenama Dainese di atas lantai, polis menemui 33 keratan tiub straw warna putih berjalur merah yang setiap satu berisi 10 pil warna merah dan empat keratan tiub straw warna putih berjalur merah yang setiap satu berisi sembilan pil warna merah dan satu pil warna hijau dengan berat keseluruhan 57.37 gram.
"Selain itu, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM320," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azli berkata, hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.
"Percakapan awal mereka juga mengakui terlibat dengan penagihan dadah jenis pil kuda.
"Suspek pertama iaitu buruh yang berusia 31 tahun memiliki dua rekod lampau dan duda terbabit pula memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah," katanya.
Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.