Misteri ribuan ikan gelama muncul, ini jawapan Jabatan Perikanan

Iklan
Gambar ikan gelama yang dinaikkan nelayan sebelum dijual secara borong kepada orang ramai yang dikongsi netizen melalui media sosial Facebook semalam. Gambar kecil: Azahari

KUANTAN - Kemunculan ikan gelama dalam jumlah besar di kawasan pesisir pantai di Kampung Anak Air, Tanjung Lumpur menggemparkan orang ramai dan menarik perhatian ramai pihak selepas tular di media sosial.

Sebahagian pengguna alam maya khususnya menganggap fenomena tersebut sebagai luar biasa berikutan kejadian itu dikatakan tidak pernah berlaku di kawasan pesisir berkenaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman berkata, fenomena itu biasa berlaku di kawasan pesisir pantai lain di sekitar daerah ini sebelum ini.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada peralihan perubahan angin Monsun Timur Laut yang juga musim udang baring bertumpu di pesisir pantai, sekali gus menarik kumpulan ikan gelama dan spesies lain ke pantai berkenaan untuk memakan udang-udang kecil itu.

Iklan

"Jadi, fenomena ini berlaku mungkin disebabkan faktor makanan ikan-ikan ini selain faktor lain termasuk faktor arus dan keadaan muka bumi kawasan pantai tersebut.

"Kemungkinan kehadiran ikan-ikan gelama ini turut berlaku di pantai-pantai lain tapi jumlahnya mungkin tidak banyak berbanding di kawasan pesisir pantai di Kampung Anak Air,” katanya semalam.

Iklan

Semalam, kumpulan nelayan pesisir pantai berjaya menaikkan lebih 2 tan ikan gelama sehingga ada beranggapan ia satu fenomena aneh kerana tidak pernah berlaku kemunculan ikan gelama sebanyak itu di kawasan pantai berkenaan.

Kejadian itu turut tular di laman sosial Facebook selepas netizen memuat naik gambar kejadian sehingga kawasan pantai berkenaan seolah-olah menjadi tapak pesta apabila ramai orang turun ke pantai sebaik nelayan pulang untuk mendapatkan ikan berkenaan pada harga borong.

Mengulas lanjut, Azahari berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dengan cuba mengaitkan fenomena itu dengan petanda bencana alam dan sebagainya.

"Fenomena ini perkara biasa kerana pada Mac lalu ia berlaku di pantai di sekitar Pantai Batu Hitam dan Balok dan mungkin kali ini ia menjadi rezeki nelayan di pesisir pantai ini pula.

"Bagaimanapun, nelayan disarankan agar lebih berhati-hati dengan mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti menarik pukat, begitu juga orang ramai yang datang ke pantai berkenaan,” katanya.