Sebutan semula kes jual MyKad, sijil lahir 29 Oktober ini

Iklan

GEORGETOWN - Dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 29 Oktober ini untuk sebutan semula kes lima individu termasuk seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkaitan pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah dan penjualannya kepada warga asing.

Hakim Norsalha Datuk Hamzah dan Hakim Mazdi Abdul Hamid menetapkan tarikh tersebut untuk penyerahan laporan forensik yang masih belum diperoleh oleh pihak pendakwaan dalam kes melibatkan Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang Mohd Faizul Arifin, 34, Yap Cheng Wah, 43, Loh Chan Cheong, 34, Chien Guan Chai, 36, dan Datuk Lai Chin Wah, 56.

Iklan
Iklan

Pada 12 September lepas, kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap 14 pertuduhan di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana memalsukan sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama beberapa individu antara Januari dan Mei 2019.

Seksyen 466 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Iklan

Mohd Faizul diwakili peguam Mohd Hisham Nazir, Chan Cheong dan Cheng Wah diwakili peguam Lee Kean Wooi, Guan Chai diwakili peguam Yusuf Idris manakala Chin Wah diwakili peguam R Sivah Nanthan.

Pendakwaan hari ini dikendalikan oleh Farah Aimy Zainul Anwar dan Shafiq Sazali. - Bernama

Iklan