KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada Tian Chua layak bertanding dalam mana-mana pilihan raya dan pilihan raya kecil (PRK) akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 6 November depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mariana Yahya dijangka akan membuat keputusan pada tarikh berkenaan selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak hari ini.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang diwakili peguam, Datuk Gurdial Singh Nija memohon mahkamah mengisytiharkan pemilik nama sebenar Chua Tian Chang itu layak untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Ia katanya berdasarkan dakwaan kelayakan mengikut Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan.
Tian Chua juga memohon pengisytiharan bahawa tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk menjadi calon selain memohon ganti rugi kos yang dikira munasabah oleh mahkamah.
Ini kerana katanya, dua keputusan kes mahkamah tinggi berasingan yang mengenakan denda RM2,000 terhadapnya tidak menghilangkan kelayakan itu.
Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua mendakwa pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Pada hari penamaan calon, bekas ahli Parlimen Batu itu dibatalkan kelayakan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anwar Mohd Zain kerana Tian Chua didenda RM2,000 akibat menghina seorang pegawai polis.
Tindakan SPR itu didakwa bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, yang membolehkan beliau bertanding dalam PRU13 meskipun setelah membayar denda RM2,000 untuk kes berasingan.
Menurut permohonan baharu yang difailkan, Tian Chua berkata, walaupun dijatuhkan hukuman dalam dua kes mahkamah, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia ketika itu mengisytiharkan beliau masih ahli Parlimen Batu.