TUMPAT - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas satu treler kontena dipenuhi muatan ayam sejuk beku seludup dari Thailand bernilai RM116,280 di sebuah gudang beras di Kampung Bendang Buyong, Jalan Jedok, Tanah Merah semalam.
Pengarahnya, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, sejumlah 2,550 karton ayam sejuk beku seberat 30,600 kilogram tersebut dirampas sepasukan anggota dan pegawai dalam serbuan Op Sinar 2019 pada jam 2.40 pagi.
Menurutnya, ketika serbuan, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun juga pemandu treler berkenaan sedang leka memunggah karton-karton berisi ayam sejuk beku terbabit dari kontena ke sebuah lori kecil dipercayai untuk dibawa ke pasaran di Pulau Pinang.
"Hasil intipan dan risikan anggota, serbuan memeriksa kontena yang dipenuhi ayam sejuk beku dipercayai barang larangan import.
"Pemeriksaan lanjut mendapati ayam sejuk beku tersebut akan dibawa ke pasaran keluar Kelantan bersama dokumen Kastam 1 dan permit import yang lama dipercayai bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Beliau berkata, kes dipercayai membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi memperoleh bekalan ayam sejuk beku dari Thailand dan diseludup masuk dalam kuantiti sedikit demi sedikit melalui Sungai Golok.
"Anggota sindiket memunggah ayam sejuk beku ini menggunakan bot di pangkalan haram dan dibawa ke gudang besar serta disorokkan dalam treler kontena.
"Ayam ini kemudian akan dipindahkan pula ke dalam lori kecil untuk dihantar ke pasaran luar Kelantan iaitu di Pulau Pinang, manakala status halal ayam tersebut diragui,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda minimum 10 kali ganda dan maksimum 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Ayam sejuk beku berkenaan dibawa ke pejabat penguatkuasaan untuk dilupuskan manakala treler bernilai RM120,000 turut dirampas.
"JKDM Kelantan akan meneruskan operasi seumpama ini bagi membendung kegiatan penyeludupan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian aduan 1-800-88-8855 atau 09-7411100,” katanya.