SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengarahkan pensyarahnya memohon maaf secara terbuka kerana mempersoalkan status pekerja dalam industri perkhidmatan e-hailing dalam sebuah rancangan bual bicara televisyen baru-baru ini.
Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM, Profesor Dr Azmawani Abd Rahman dalam kenyataannya berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat terhadap pihak yang terkesan dengan kenyataan tersebut.
Menurutnya, kenyataan Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari adalah pendapat peribadi beliau dan tidak menggambarkan pandangan rasmi UPM.
"Perkara ini sedang disiasat dan UPM masih menunggu penjelasan lanjut daripadanya.
"Beliau dilihat berkemungkinan besar tersalah menggunakan perkataan yang bersesuaian untuk menggambarkan pendapat dan pandangan beliau," katanya.
UPM berkata, universiti itu mempunyai garis panduan kepada semua pekerja dan pelajar dalam memberi kenyataan kepada media.
"UPM juga sering memberi peringatan dan memantau warganya agar mematuhi perkara-perkara yang telah ditetapkan serta tidak memberi sebarang kenyataan berbentuk provokatif, menyinggung dan memberi persepsi negatif," katanya.
Sebelum ini, Mohd Yusof dalam bual bicara tersebut dilapor menyifatkan kerja penghantaran sebagai kerja tidak bermaruah.