KUALA NERUS - Graduan diingatkan agar menjiwai nilai patriotisme dan sayangkan negara, dalam setiap pendirian dan tindakan.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bertitah, nilai tersebut telah termaktub kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara yang menjadi asas kepada perpaduan rakyat Malaysia.
Baginda yang juga Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bertitah, meskipun kita hidup dalam realiti kepelbagaian kepercayaan dan budaya, namun nilai toleransi perlu sentiasa dipupuk agar perpaduan dapat dikekalkan.
"Perbezaan agama, ideologi dan ras yang boleh membawa kepada kesan negatif perlu dikesampingkan secara total. Oleh yang demikian, setiap graduan harus merealisasikan semangat patriotik melalui penghayatan ilmu yang dipelajari,” titah Baginda pada Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-11 UniSZA di sini hari ini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat untuk meraikan graduan pada majlis itu.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Pada majlis itu, seramai 3,473 graduan diraikan, terdiri daripada 61 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 102 graduan Ijazah Sarjana, 1, 991 graduan Ijazah Sarjana Muda, dan 1, 319 graduan Diploma.
Baginda bertitah, dunia kini sedang berhadapan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0 dan dalam mendepani cabaran ini, pentakrifan semula sistem nilai dan norma pasti akan berlaku.
Justeru, Sultanah Nur Zahirah menasihati warga UniSZA, khususnya para graduan agar dapat menghayati dan menjadi agen pembudayaan hidup.
"Para graduan diharapkan dapat menghayati konsep pengabdian diri kepada Allah, berdasarkan pendekatan Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Ini selari dengan rukun negara yang menyebut secara jelas tentang kepercayaan kepada Tuhan.
"Para ilmuwannya harus lebih menzahirkan akidah tauhid ini secara kontemporari dan praktikal agar dapat membendung gejala liberalisme, sekularisme, atheisme dan lain-lain ideologi yang boleh menggugat kestabilan negara,” titah Baginda.
Baginda turut menegaskan, pembudayaan mas’uliyyah atau hidup berteraskan akauntabiliti akan menjamin integriti dalam seluruh aspek kehidupan.