Sindiket Black Money gagal 'hidup' kembali

Iklan
Mazlan (tiga dari kiri) menunjukkan duit mata wang asing palsu yang dirampas susulan tertangkapnya sepasang kekasih warga Afrika di sebuah premis Jalan Taman Ria, Taman Gembira Kuala Lumpur Selasa lalu.

KUALA LUMPUR - Taktik dua bekas pelajar warga Afrika untuk menghidupkan semula penipuan 'Black Money' memakan diri apabila cubaan itu berjaya dihidu polis dalam operasi di Jalan Taman Ria, Taman Gembira di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan di premis terbabit kira-kira jam 4 petang berjaya menahan suspek yang juga pasangan kekasih berusia 36 dan 37 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan menjumpai satu baldi yang disyaki mengandungi peralatan seperti sebotol cecair kimia, sebungkus serbuk putih dan 123 keping mata wang kertas asing disyaki palsu.

"Siasatan mengesyaki barang tersebut diguna untuk penipuan 'Black Money'.

Iklan
Antara barang yang dirampas susulan tertangkapnya sepasang kekasih warga Afrika di sebuah premis Jalan Taman Ria, Taman Gembira Kuala Lumpur Selasa lalu.

"Polis percaya suspek ini baru mula aktif dan dalam proses untuk mencari mangsa. Soal siasat mendapati suspek ini akan mencari mangsa di hotel, tepi jalan dan kawasan parkir dengan tawaran kononnya cara untuk mendapatkan wang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, bagi meyakinkan mangsa suspek kemudian membawa mereka ke hotel untuk menunjukkan kaedah tersebut.

Iklan

Katanya, tanpa mangsa sedari sebenarnya suspek menggunakan duit tulen yang disalut dengan tepung sebelum dicuci dengan bahan kimia.

"Bagi meyakinkan mangsa, wang yang dicuci itu akan diperiksa di premis pertukaran wang untuk kesahihan. Premis yang mengesahkan ketulenan wang terbabit akan menjadikan mangsa tertipu sebelum suspek menawarkan pembelian sekurang-kurangnya bernilai RM10,000 untuk 100 keping wang kertas dolar yang sebenarnya palsu," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman 17 hari sehingga 25 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Justeru, polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan helah sindiket yang menawarkan keuntungan berlipat ganda.