Pasangan kekasih sara hidup jual dadah

Iklan
Mazlan (empat dari kanan) menunjukkan antara rampasan dadah yang dirampas pihaknya susulan tertangkapnya sepasang kekasih di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi Kuala Lumpur Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR - Kegiatan pengedaran dadah yang dilakukan sepasang kekasih sejak tiga bulan lalu berjaya dipatahkan selepas mereka diberkas di kawasan parkir sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1 petang itu, soal siasat terhadap suspek lelaki dan wanita berusia 29 dan 24 tahun membawa penemuan pelbagai jenis dadah termasuk serbuk ekstasi, pil ekstasi, pil erimin 5 dan ketamin.

Iklan
Iklan

"Dianggarkan nilai dadah tersebut berjumlah RM416,950.

"Turut dirampas adalah sebuah kereta Proton Saga, dua gelang emas dan dua cincin emas dengan nilai keseluruhan RM15,860," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Antara rampasan berkaitan dadah yang dirampas polis susulan tertangkapnya sepasang kekasih di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi Kuala Lumpur Jumaat lalu

Iklan

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek menjual dadah di sekitar Jalan Klang Lama selepas tempahan menerima menerusi panggilan telefon atau aplikasi Wechat. Kegiatan pengedaran itu tidak dilakukan di pusat hiburan selepas suspek menyedari operasi berterusan polis di premis tersebut.

Katanya, dipercayai bekalan dadah itu diperoleh suspek daripada seorang lelaki tempatan di Sri Kembangan yang menjadi dalang atau tokan dadah.

Iklan

"Selain itu, soal siasat juga mendapati suspek telah menyewa kondominium terbabit dengan bayaran RM2,000 sebulan," katanya.

Antara rampasan berkaitan dadah yang dirampas polis susulan tertangkapnya sepasang kekasih di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki dikesan positif dadah jenis ketamin manakala teman wanitanya negatif. Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari berakhir 18 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara, beliau berkata Polis Kuala Lumpur menyerbu 144 pusat hiburan di sekitar ibu negara, sejak awal tahun ini hingga 13 Oktober dengan pemeriksaan seramai 5,942 individu dan 937 daripadanya disahkan positif dadah.

"Dalam tempoh dan lokasi sama kita turut membuat serbuan sebanyak 32 parti liar dan memberkas 372 orang dengan 250 daripadanya positif dadah,” katanya.