Taufan Habigis: Saifuddin zahir takziah kepada Jepun

Iklan
Puluhan ribu anggota penyelamat Jepun berusaha membantu penduduk yang terperangkap akibat tanah runtuh dan banjir akibat Taufan Hagibis. - Foto AFP

PUTRAJAYA - Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan simpati dan takziah kepada kerajaan Jepun dan rakyatnya terutama mereka yang kehilangan insan tersayang dan terjejas akibat Taufan Hagibis.

Saifuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau yakin bahawa kerja-kerja bantuan kemanusiaan yang sedang berjalan di kawasan bencana dapat memudahkan proses pemulihan di kawasan terjejas.

Iklan
Iklan

"Malaysia berdiri teguh bersama Jepun dalam tempoh sukar ini,” katanya memetik laporan Bernama.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 35 orang meninggal dunia dan 17 lagi hilang Ahad lepas selepas Taufan Hagibis membadai Jepun termasuk kawasan kota metropolitan Tokyo.

Iklan

Taufan itu turut menyebabkan beberapa sungai melimpah dan 376,000 rumah terputus bekalan elektrik.

ARTIKEL BERKAITAN: Taufan Hagibis: Angka korban meningkat 35 orang

Iklan

Lebih 100,000 petugas penyelamat termasuk 31,000 anggota tentera menggali sisa runtuhan bagi menyelamatkan mangsa terperangkap berikutan hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh dan air sungai melimpah.

Helikopter tentera dan bomba digunakan bagi menyelamatkan mangsa dari atas bumbung namun di Fukushima, seorang wanita maut selepas terjatuh daripada buaian helikopter ketika operasi menyelamat.

Sehingga semalam, kira-kira 57,500 kediaman masih bergelap dan 120,000 yang lain ketiadaan bekalan air sementara itu ribuan mangsa masih menghuni pusat perlindungan dan tidak pasti bila mereka dapat pulang ke rumah masing-masing.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Shinzo Abe berkata kerajaan akan melakukan segala yang termampu untuk membantu mangsa. Taufan Hagibis melanda Pulau Honshu malam Sabtu lalu dengan kekuatan angin mencecah hingga 216 kilometer sejam.