KUCHING - Tenggiling, mamalia unik yang dilindungi dalam kalangan spesiesnya di Sarawak akan dipertingkatkan tahap perlindungan kepada kategori ‘Dilindungi Sepenuhnya’ di negeri ini.
Dikenali sebagai manis javanica dalam bahasa saintifiknya, tenggiling antara mamalia yang sering dirampas daripada urusniaga haram hidupan liar di Asia dan kini di ambang kepupusan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak Sdn Bhd (SFC), Zolkipli Mohamad Aton yang menyukai haiwan berkenaan berkata, pihaknya akan menjalankan kajian bagi mengetahui jumlah populasi terkini haiwan itu sebelum menghantar cadangan untuk meningkatkan tahap perlindungan haiwan itu kepada kerajaan.
Itu adalah langkah biasa dilakukan bagi peningkatan tahap perlindungan hidupan liar.
Bagaimanapun, jika terdapat satu penanda aras dalam peningkatan tahap perlindungan tenggiling daripada Traffic iaitu satu rangkaian pemantau urusniaga hidupan liar yang menasihatkan agar perbadanan itu perlu melakukan proses itu segera, maka pihaknya akan memastikan proses itu diutamakan.
"Pada masa ini, dalam senarai tugas kita, kita akan lihat semula kita punya Pelan Induk Hidupan Liar, lepas tu ordinan yang berkaitan tetapi jika ada penanda aras daripada pihak luar, kalau mereka kata kita perlu lakukannya. Jika tidak (tenggiling) akan pupus, jadi kita akan utamakan (tahap perlindungan),” katanya kepada Bernama.
Di Sarawak, spesis ‘Yang Dilindungi Sepenuhnya’ tidak boleh disimpan sebagai haiwan peliharaan, diburu, ditangkap, dibunuh, dijual, diimport, dieksport atau diganggu dalam sebarang keadaan atau memiliki apa-apa sahaja bahagian tubuh badan haiwan berkenaan.
Antara haiwan yang dikategorikan di bawah terma itu ialah monyet proboscis, ungka Borneo, badak sumbu, dugong dan semua jenis penyu.
Zulkipli juga maklum bahawa di Sarawak jumlah populasi tenggiling masih banyak tetapi di negeri lain populasinya semakin mengecil.
"Jadi penyeludup nak masuk sini. Kita telah diberi amaran, jaga tenggiling anda,” katanya.
"Katanya ada banyak ubat, saya boleh sebut ada satu artikel oleh Persatuan Pemuliharaan Sedunia, dia kata kulit (tenggiling) dia sama dengan kuku kita ni, keratin.
"Jadi sebenarnya tak ada nilai perubatan tetapi kerana tradisinya, orang berusaha untuk mendapatkannya. Ada juga orang kata suka isinya tapi binatang ini mana ada isi sangat,” katanya.
Selain melindungi, Zulkipli berkata, pihaknya akan memfokuskan terhadap penalti di mana SFC akan mengkaji semula ordinan berkaitan hidupan liar yang antara lain untuk meningkatkan penalti terhadap pesalah.
Pengarah Traffic Asia Tenggara, Kanitha Krishnasamy dalam satu artikel awal tahun ini menimbulkan persoalan yang agak menarik mengenai penalti melibatkan kesalahan berkaitan penyeludupan hidupan liar di negara ini dan mahu kerajaan megeri mengkaji semula enakmen dan tata cara mereka.
Memetik kes pada 7 Februari tahun ini, beliau dipetik sebagai berkata bahawa jumlah denda maksimum mengikut enakmen negeri itu langsung tidak menjejaskan keuntungan yang mungkin diperoleh sindiket berkenaan, ketika mengulas berhubung tindakan polis Sabah dan Jabatan Haiwan Liar Sabah menutup kilang memproses tenggiling dan gudang serta merampas 30 tan tenggiling dan anggota badannya.
"Ini sangat penting kerana penalti kewangan yang paling teruk boleh dikenakan terhadap suspek berkaitan kes 7 Februari itu adalah denda sehingga RM250,000 mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah jika disabitkan kesalahan.
"Sementara itu, pihak berkuasa juga telah menilai barang rampasan berkenaan berjumlah RM8.4 juta menjadikan hasil yang diperoleh sindiket berkenaan adalah 33 kali ganda daripada jumlah denda yang bakal dikenakan,” katanya.
Tenggiling adalah haiwan yang mempunyai ekor pregensil dan gigi yang sikit, biasanya memakan semut dan anai-anai yang diambil dari sarang di pokok, tanah atau di bawah tanah dengan sarang serangga dibuka dengan kakinya yang kuat dan menjilat dengan lidahnya yang panjang.
Sejenis haiwan yang aktif pada waktu malam, tenggiling tidur pada waktu siang dalam lubang bawah tanah, sering bergerak perlahan dan mudah dilihat pada waktu malam. - Bernama