PETALING JAYA - Perniagaan di Malaysia perlu mengubah strategi termasuk menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan untuk kekal berdaya saing
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perniagaan kadang-kala dilihat terlalu berorientasikan operasi untuk menyediakan keputusan dan sering terlalu konservatif untuk membuat kepelbagaian perniagaan dan pembangunan produk.
"Kita perlu mengubah strategi kita daripada menjadi peniaga dan pengguna teknologi kepada menjadi pencipta teknologi,” katanya semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Industri 4.0: Revolusi Global Ke Arah Perniagaan, Teknologi dan Produktiviti (MYINDUSTRIES 2019) di sini hari ini.
Industri 4.0 merujuk kepada fasa baharu dalam Revolusi Perindustrian yang banyak menumpukan kepada kesalinghubungan, automasi, pembelajaran mesin dan data masa nyata.
Dr Mahathir menegaskan, Industri 4.0 akan mentransformasikan pasaran buruh menjadi persekitaran kerja yang bertumpu kepada kemahiran berkaitan dengan penyatuan teknologi operasi dan teknologi maklumat, analisis data, pemahaman proses dan keupayaan untuk bekerja dengan teknologi 'disruptif'.
"Teknologi seperti 'internet of things' (Internet pelbagai benda), robotik canggih, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan aditif adalah faktor penyumbang untuk menjana peningkatan dalam produktiviti bersih,” katanya.
Perdana Menteri berkata, dasar kebangsaan bagi Industri 4.0 atau Industry4WRD yang dilancarkan setahun lalu adalah respons Malaysia kepada Industri 4.0.
"Dengan adanya dasar itu, kita menyasar untuk memacu Malaysia ke arah menjadi hab Industri 4.0 di Asia Tenggara, satu peluang baik bagi kita untuk mendapatkan kembali status kita sebagai Harimau Asia,” katanya.
Beliau berkata negara perlu mengambil serius transformasi Industri 4.0 untuk kekal berdaya saing dan relevan di peringkat antarabangsa.
Dr Mahathir juga berkata, sistem pendidikan Malaysia ketika ini diselaraskan dengan keperluan ekonomi negara dengan tumpuan pengajaran kemahiran perindustrian harus cenderung ke arah pengetahuan inovatif.
Graduan daripada institusi pengajian tinggi katanya, sepatutnya dapat memenuhi permintaan pasaran pekerjaan.
"Terdapat keperluan untuk mentransformasikan modal insan kita dalam tenaga kerja dan juga pelajar, dengan kemahiran baharu, pemikiran inovatif dan pengetahuan pelbagai disiplin,” katanya.
Dr Mahathir berkata, universiti Malaysia perlu mula menumpukan membangunkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan mereka dalam menyelesaikan masalah sebenar industri dan kajian kes peningkatan produktiviti dan Pulangan atas Pelaburan.
Ini kerana katanya, ia akan menyediakan nilai yang kukuh bagi industri.
"Lebih banyak penyelidikan juga perlu dilakukan dalam mentransformasikan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) ke arah perniagaan dipacu teknologi.
"Kita memerlukan lebih banyak teknologi yang boleh disesuaikan dengan industri Malaysia dan Industri 4.0 boleh menjadi permulaan baharu bagi pemaju dan penyelidik teknologi tempatan,” katanya.
Persidangan tiga hari itu yang diadakan di Universiti SEGi bertujuan untuk memudahkan pelancaran Industri 4.0 yang berkesan di Malaysia. - Bernama