SEREMBAN - Sebanyak 100 buah masjid di Negeri Sembilan disasarkan sebagai Pusat Pembangunan Umat Terbaik menjelang 2024.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan negeri turut menyasarkan tujuh inisiatif dalam menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan tersebut.
Menurutnya, antara yang diberi keutamaan adalah memastikan peningkatan jumlah jemaah di masjid, menumpukan pembangunan dakwah dan pendidikan berkesan dan menyeluruh, pembangunan belia dan remaja kariah serta pembangunan wanita dan keluarga kariah.
"Manakala pembangunan ekonomi masjid dan kebajikan kariah, pembangunan ekonomi masjid dan ahli kariah dan urus tadbir kewangan dan pengurusan masjid berkualiti turut menjadi keutamaan," katanya ketika merasmikan Seminar Pengurusan Masjid Negeri Sembilan di Klana Resort sini, semalam.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri berharap semua pihak dapat memainkan peranannya dalam mengukuhkan institusi Islam di negeri ini.
"Jika kita mahu melihat perubahan pada umat Islam ini di masa akan datang, kita harus memulakannya dari sekarang. Sekalipun perubahan yang kecil impaknya akan dirasakan besar sekiranya dilakukan secara konsisten," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai Belanjawan 2020 kerajaan negeri dalam memperkasakan kedudukan masyarakat Islam di negeri ini, Aminuddin berkata, pelaksanaan perancangan bangunan baharu akan diteliti bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam.
Menurutnya, selain peruntukan lebih RM17 juta untuk institusi Islam tahun ini, kerajaan komited memperkasakan kedudukan masyarakat Islam melalui pelbagai agenda yang telah dirancang dan dijalankan.
"Kerajaan komited untuk memperkasakan kedudukan masyarakat Islam di negeri ini. Selain daripada menyediakan peruntukan lebih RM17 juta untuk institusi Islam pada tahun ini, pelbagai strategi telah dirancang dan dijalankan.
"Bagaimanapun belanjawan tahun depan, kita akan lihat keperluannya dan pelaksanaannya (masih dalam perincian)," katanya.