Asas perpaduan dan maruah Melayu

Iklan
Gambar hiasan

"HANYA Melayu yang boleh memulihkan maruah bangsa itu sendiri, namun ia bergantung kepada kesediaan mereka untuk bekerja keras dan mengambil segala peluang diberikan kerajaan."

"Walaupun kerajaan dipimpin oleh orang Melayu, ia tidak boleh memulihkan maruah bangsa itu sekiranya mereka sendiri tidak mahu berusaha mengubah nasib."

Iklan
Iklan

Demikian kenyataan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad yang harus difikirkan dan diambil tindakan oleh masyarakat Melayu ketika Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Shah Alam pada 6 Oktober lalu.

Kata-kata Tun Mahathir itu bukan merendah-rendahkan maruah Melayu sebaliknya Melayu harus bangkit serta melakukan tindakan segera. Jangan menunggu hari esok sehingga kita ketinggalan.

Iklan

Warga asing yang mula datang ke tanah air kita hanya sehelai sepinggang tetapi mereka kini telah berjaya membina hidup mereka, mengapa? Tidak mahukah kita mencontohinya?

Melayu juga harus membuka minda dan hati untuk menguasai bahasa lain bukan sekadar berbangga dengan bahasa ibunda sendiri. Tiada salahnya mempelajari pelbagai bahasa untuk memajukan diri dan menambah ilmu.

Iklan

Pemilihan pengajian di institusi pengajian tinggi juga harus dibuat lebih terperinci oleh anak muda dengan memikirkan peluang pekerjaan yang dikehendaki oleh pasaran pada masa hadapan.

Anak-anak Melayu jangan terlalu memilih kerja, rebut peluang sebarang kerja yang ada untuk menimba pengalaman dan menutup ruang yang banyak diisi oleh pendatang asing, buatlah kerja asalkan rezekinya halal serta diberkati tuhan.

Sikap mementingkan diri dalam masyarakat Melayu juga harus berubah, sebagai contoh kita harus melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat seperti program kebun komuniti yang boleh mengeratkan silaturahim sesama jiran serta hasilnya boleh berkongsi bersama.

Kerajaan banyak membantu dengan memberikan subsidi bagi meringankan beban. Kita harus bersyukur dan berterima kasih.

Tun Mahathir pernah menyatakan masyarakat Melayu terus dihina walaupun kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memperuntukkan modal untuk mereka berniaga.

Perkara itu berlaku kerana masyarakat Melayu tidak menyambut baik peluang yang ada walaupun diberikan modal dan bantuan.

Walaupun kerajaan mewujudkan banyak peluang perniagaan dan modal untuk dipinjam, kalau tidak ada usaha yang gigih, maka usaha itu akan gagal.

Kita jangan mengharapkan ‘tongkat’, tetapi harus pandai menggunakan ‘pancing’ untuk terus berdaya saing.

Selain itu, masyarakat di negara ini tidak seharusnya terlalu ekstrem dengan agama masing-masing sehingga ia boleh mengguriskan perasaan bangsa lain.

Tugas paling mendesak bagi rakyat Malaysia kini tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan fahaman politik adalah memastikan keharmonian kaum dan agama kekal utuh.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye sebelum ini pernah menyatakan perkara itu hanya boleh dicapai jika semua pihak menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya menghayati Rukun Negara dalam usaha mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang mantap.Rakyat harus bersatu padu secara kolektif serta menjalinkan hubungan baik dan mesra secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak.

Sejak kebelakangan ini, banyak pihak berbicara tentang perpaduan sama ada tentang kerjasama antara parti politik mahupun penyatuan Melayu.

Masyarakat harus sedar bahawa perpaduanlah asas kejayaan sesebuah negara. Jika tidak, mana mungkin usaha menyatukan masyarakat termasuklah orang Melayu telah dimulakan sejak sebelum merdeka lagi.

Muafakat Nasional dan penganjuran Kongres Maruah Melayu, tujuan utama pelaksanaannya adalah mahu menyemai benih perpaduan dalam kalangan orang Melayu, tanpa sedikit pun berniat untuk meminggirkan kaum-kaum lain.

Malangnya, ada sahaja pihak yang tidak senang dengan usaha itu lalu dengan sengaja menimbulkan retorik perkauman. Bagaimanapun, usaha dan perjuangan menyatukan orang Melayu mesti diteruskan.

Akhir kata, sikap yang tidak baik dalam diri masyarakat harus dihindari seperti boros, rasuah, membuang masa, menyebar fitnah, malas dan pelbagai sifat negatif lagi. Marilah kita bersatu membina bangsa yang bermaruah.