SEREMBAN - Pas mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun merehatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disoal siasat berkait kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan, Badzli Bakar berkata, isu keselamatan perlu diberi keutamaan sebagai tindakan tegas terhadap soal keselamatan khususnya di negeri ini.
"Amat merunsingkan apabila mereka yang mendukung pertubuhan pengganas LTTE ini adalah dalam kalangan pemimpin kerajaan (parti DAP).
"Lebih membimbangkan lagi sekiranya terdapat lebih ramai lagi ADUN DAP dari Negeri Sembilan yang terlibat. Kami yakin rakyat Negeri Sembilan juga merasa bimbang dan keamanan tergugat dengan situasi ini," katanya dalam satu kenyataan secara bersama UMNO Negeri Sembilan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan sokongan terhadap kumpulan pengganas sebagai tindakan tidak masuk akal, lebih-lebih lagi suara 'sumbang' turut menyokong dan mendukung kumpulan tersebut di Malaysia khususnya melibatkan beberapa pemimpin DAP.
"Kami yakin dengan tindakan dan kebijaksanaan pihak polis dalam meletakkan kes ini sebagai keutamaan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA).
"Beberapa pemimpin DAP seperti Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy secara terang-terangan mengakui beliau ahli dan pendokong LTTE juga harus ditangkap dan disoal siasat," katanya
Terdahulu, ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran ditahan sepasukan anggota polis Bukit Aman mengikut akta SOSMA di rumahnya di Kampung Baru Rahang, jam 9.58 pagi Khamis minggu lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, polis turut melakukan penggeledahan di kediaman berkenaan dan memeriksa pejabatnya di Taman Seremban Jaya.
Gunasekaran ditahan kerana dipercayai menghadiri Program Hari Perwira LTTE pada 28 November tahun lalu di Melaka selain menyampaikan ucapan berunsur sokongan dan mengedar risalah serta item berkaitan kumpulan itu.
Turut ditahan ADUN yang juga Exco Melaka dan lima individu lain kerana disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan pengganas LTTE.