TOKYO - Puluhan ribu anggota penyelamat Jepun masih meneruskan operasi menyelamat susulan Taufan Hagibis yang setakat ini meragut hampir 70 nyawa dan mengakibatkan kerosakan teruk.
Stesen penyiaran awam NHK melaporkan angka kematian mencecah hampir 70 orang dan berpuluh yang lain masih hilang.
Sementara itu kerajaan mengesahkan angka kematian adalah lebih rendah namun pihaknya masih mengemaskini maklumat.
Perdana Menteri, Shinzo Abe yang menjanjikan bantuan kepada mangsa bencana itu berkata, tiada rancangan untuk memperlahankan operasi menyelamat yang disertai lebih 110,000 anggota polis, pengawal pantai, anggota bomba dan tentera.
"Hingga kini operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas masih diteruskan.
"Sementara itu kerja pembaikan sedang dijalankan di kawasan di mana air sungai melimpah dan air sedang dipam keluar dari kawasan dilanda banjir," kata Abe.
Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan lebih 3,000 orang diselamatkan susulan bencana yang menjejaskan 36 wilayah negara itu.
Kerajaan turut memberi amaran hujan lebat dijangka turun sepanjang hari ini di beberapa kawasan terjejas akibat Taufan Hagibis.
Difahamkan, sehingga kini kira-kira 34,000 kediaman masih bergelap dan 133,000 yang lain ketiadaan bekalan air sementara ribuan mangsa masih menghuni pusat perlindungan kerajaan dan ramai tidak pasti bila mereka akan dapat pulang ke rumah masing-masing.
Taufan Hagibis membadai Jepun dengan angin kuat mencecah 216 kilometer sejam berserta hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh dan puluhan tebing sungai pecah sekali gus mengakibatkan sebahagian besar kerosakan. - AFP