SHAH ALAM - Kejadian seorang graduan bertindak kurang ajar semasa hari konvokesyen Universiti Malaya (UM) menunjukkan sikap biadab dan salah pemahaman tentang pemerkasaan pelajar (student empowerment) seperti diharapkan di bawah kerajaan Malaysia Baharu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh berkata, tindakan itu amat memalukan semua pihak.
"Sifat dan sikap tercela ini perlu dijauhi dan mahasiswa perlu berlumba-lumba melakukan kebaikan agar tertanam dalam diri sifat-sifat yang terpuji dan dikagumi oleh semua pihak terutamanya masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Universiti Malaya hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang graduan kejuruteraan awam yang mengangkat plakad tertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ di hadapan tetamu dan pentadbir tertinggi UM semasa sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59 pagi semalam.
Tindakan itu dipercayai bagi membantah ucapan Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.
Selain membawa plakad, graduan itu turut menjerit sejurus selepas menerima skrol ijazah sarjana muda dalam majlis istiadat konvokesyen mengundang kecaman warganet sejak semalam.
UM dalam kenyataannya berkata, pihaknya kini menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sekali gus mengambil tindakan sewajarnya.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Afandi mengingatkan tentang Falsafah Pendidikan Negara untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
"Selain itu mereka perlu memiliki ilmu dan berketrampilan sebagai orang berilmu, beradab dan berakhlak serta sentiasa bertanggungjawab atas ilmunya untuk diri dan orang lain,” katanya.
Justeru katanya, mahasiswa yang hebat perlu sentiasa belajar untuk menanam dan mempamerkan semua adab yang baik dalam diri masing-masing.
"Sedarlah, adab adalah tonggak mahasiswa cemerlang dan pemerkasaan pelajar tidak akan bermakna kepada mana-mana pihak dengan kelakuan pelajar yang biadab, sombong, jelek dan tiada harga diri,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Graduan biadab: UM buat laporan polis
[VIDEO] Biadab! Graduan protes di pentas konvo