700 ayam rentung, reban terbakar

Iklan
Anggota bomba membuat pemeriksaan selepas kebakaran membabitkan sebuah kilang pengeluaran ayam di Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, berjaya dipadamkan malam tadi.

ALOR GAJAH - Anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa lebih dua jam untuk memadamkan kebakaran reban ayam di sebuah kilang pengeluaran ayam di Ayer Molek, Kuala Sungai Baru di sini malam tadi.

Kejadian lebih kurang jam 9 malam menyebabkan lebih 700 ekor ayam rentung selepas reban tersebut terbakar.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hamizan Mohd Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan lebih kurang jam 9.15 malam sebelum dua jentera, sebuah EMRS serta bantuan jentera tangki air digerakkan ke lokasi bersama 18 pegawai dan anggota.

Menurutnya, pihak bomba mengenal pasti kebakaran bermula dari kawasan tengah reban sebelum kebakaran marak ke bahagian depan dan belakang.

Iklan

Katanya, sebelum kejadian 6,000 ekor ayam betina telah dipindahkan ke tempat lain sejak minggu lalu dan terdapat 700 ekor ayam jantan berada dalam reban dan tidak sempat diselamatkan.

"Punca kebakaran masih disiasat dan kita telah berjaya bertindak pantas untuk mengawal kebakaran daripada marak ke reban berdekatan.

Iklan

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan mengenai punca kejadian serta jumlah kerugian sedang dijalankan oleh Jabatan Forensik Bomba," katanya.