JPJ sasar RM1 juta jualan nombor pendaftaran BQB

Iklan
Shaharuddin (empat dari kanan) menunjukkan nombor pendaftaran BQB yang akan dibida pada 25 Oktober sehingga 29 Oktober ini.
SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan nilai sebanyak RM1 juta bagi nilai jualan nombor pendaftaran BQB 1 sehingga BQB 9999 bermula 25 Oktober sehingga 29 Oktober ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Sri Shaharuddin Khalid berkata, JPJ menjangkakan peningkatan bagi bidaan siri nombor pendaftaran BQB berbanding siri BQA yang dibuka sebelum ini.

"Siri bidaan yang dilaksanakan melalui sistem JPJeBid ini akan dibuka selama hari bermula 25 sehingga 29 Oktober ini pada jam 12 tengah malam.

"Keputusan untuk bidaan akan diumumkan pada 30 Oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran JPJ Ebid Siri BQB 1-9999 Peringkat JPJ Selangor bertempat di Ibu Pejabat JPJ Selangor di Padang Jawa di sini hari ini.

"Terdapat beberapa kategori antaranya nombor bernilai utama dengan harga minima sebanyak RM20,000, nombor menarik dengan harga minima RM3,000, nombor popular dengan harga minima RM800 dan nombor biasa dengan harga RM300.

"Kesemua kategori ini terdapat kenaikan bidaan pada kadar lima peratus," katanya.

Menurutnya, kaedah pembayaran bidaan dalam JPJ eBid adalah dengan menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan.

"Pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran Fi perkhidmatan RM10 wajib bagi setiap nombor yang dibida.

"Tiada sekatan untuk melakukan bidaan, bagaimanapun setiap individu hanya untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan sahaja manakala bagi perniagaan/syarikat adalah tidak melebihi lima nombor kenderaan sahaja," katanya.

Jelasnya, JPJebid menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.

"Pembida boleh mengetahui kedudukan(ranking) secara 'realtime' dan tiada unsur campur tangan.

"Ia terbuka kepada warganegara Malaysia dan penduduk tetap yang berumur 18 tahun ke atas serta perniagaan syarikat yang berdaftar, bagaimanapun orang awam atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod di sistem Mysikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana pejabat JPJ negeri dan cawangan JPJ kecuali UTC," katanya.