KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, perkara itu merupakan antara beberapa aspek perundangan yang ingin dikaji semula dan terkandung dalam janji manifesto Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, pihaknya memerlukan masa untuk membawa rang undang-undang pindaan akta itu dibentangkan dalam sidang Parlimen.
"PH dalam janji manifesto kami tahun lepas sudah berjanji untuk mengkaji semula beberapa aspek perundangan termasuk SOSMA.
"Namun ianya tidak akan dibentangkan pada persidangan Parlimen kali ini. Beri kami masa," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang meminta kerajaan menambah baik akta SOSMA tanpa perlu dimansuhkan.
Akta SOSMA menjadi pertikaian sebilangan pemimpin politik kerajaan susulan digunakan polis bagi tindakan penahanan 17 individu dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam(LTTE) termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong berharap pembentangan pindaan RUU SOSMA akan dapat dilaksanakan di Dewan Rakyat pada persidangan Disember ini.
Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan bersama Jemaah Menteri dan pendekatan diambil bahawa SOSMA ada sedikit sebanyak memerlukan pindaan kepada seksyen-seksyen tertentu terutama mengenai tempoh penahanan 28 hari dan akses tertuduh kepada peguam.
"Perkara ini masih dalam proses dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan saya berharap sebaik sahaja selesai, ianya akan dibentang seawal bulan Disember atau tahun hadapan," katanya.