Dua anggota polis didakwa terima rasuah

Iklan
Muhammad Rayyan John (depan) dan Stenley Blasius diiringi pegawai SPRM keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah.

KUANTAN - Dua anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas lima tuduhan menerima suapan RM6,500 daripada seorang lelaki pada Mac lalu.

Muhammad Rayyan John Abdullah, 30, dan rakan sekerjanya, Stenley Blasius, 36, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama atas lima pertuduhan dengan memperoleh suapan berjumlah RM6,500 sebagai dorongan untuk mengurangkan berat dadah jenis syabu yang dirampas polis daripada lelaki tersebut.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Islam cawangan Pekan pada jam 11 malam, 7 Mac lalu.

Iklan

Muhammad Rayyan John dan Stenley didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama

Muhammad Rayyan John (depan) dan Stenley Blasius diiringi pegawai SPRM keluar dari kamar mahkamah.

Sekiranya kedua-dua tertuduh didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai atau jumlah suapan atau mana- mana lebih tinggi.

Iklan

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman menawarkan ikat jamin RM10,000 bagi kelima-lima pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Saifuldin Ab Rahman mewakili kedua tertuduh meminta agar wang ikat jamin dikurangkan.

Dalam hujahnya, Mohd Saifuldin berkata, kedua-dua anak guamnya mempunyai tanggung dan mempunyai pendapatan bersih sekitar RM1,000 sebulan.

"Saya mohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah," katanya.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang dan kes disebut semula pada 13 November depan.