PERTAMA: Mahkamah Koroner membuat dapatan, Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul oleh sekumpulan individu berketurunan India yang tidak dikenali ketika berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Allahyarham bertugas sebagai anggota bomba untuk memadamkan kebakaran dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ, Selangor pada November tahun lalu.
Hakim Koroner Rofiah Mohamad dalam keputusannya berkata, dapatan tersebut mengambil kira bahawa rusuhan tercetus akibat kemarahan bangsa India terhadap pencerobohan kuil yang dilakukan sekumpulan Melayu beberapa hari sebelum itu.
Kedua: Mayat tidak sempurna ditemui oleh seorang pemotong rumput ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan semak berhampiran jalan utama Kampung Landang, Krubong Melaka jam 4 petang Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata, mayat tanpa pakaian itu ditemui dengan sekurang-kurangnya lapan bahagian badan selain disyaki dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.
Susulan itu, pihak polis menahan seorang lelaki warga Singapura disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam, sehari kemudian.
Ketiga: Polis mengenal pasti seorang suspek yang dipercayai terlibat dengan kes seorang warga emas ditemui mati dengan kedua-dua tangannya diikat di Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ampang Jaya, Selangor pada 19 September lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, suspek yang merupakan seorang gelandangan berusia dalam lingkungan 30-an, turut mempunyai beberapa rekod kes lampau termasuk kes dadah dan jenayah. Bukan itu sahaja, Noor Azmi berkata, pihaknya turut menemui kesan kemungkinan serangan seksual luar tabii ke atas mangsa.
Apa persamaan dalam ketiga-tiga kes ini?
Jenayah. Kecenderungan manusia melakukan keganasan sehingga menyebabkan kematian umpama tiada lagi sifat perikemanusiaan dalam diri.
Sedangkan setiap agama di dunia ini mengajar umatnya supaya menjauhi kejahatan dan mendampingi kebaikan.
Itu belum dikira dengan kes mahkamah membabitkan ugutan anak sendiri terhadap ibu bapa dek kerana enggan menyerahkan wang bagi mendapatkan dadah.
Lebih menyayat hati apabila kita disajikan dengan berita kes rogol membabitkan anak kecil oleh keluarga tiri, suami pengasuh, bapa kandung atau kenalan.
Sabtu lalu di Ipoh Perak, seorang bapa bukan sahaja tergamak mencabul dan melakukan persetubuhan malah merakam gambar bogel anak perempuan tirinya yang berusia 15 tahun sejak 2016 sehingga bulan lalu.
Tanpa rasa belas ihsan dan perikemanusiaan menyebabkan mereka sanggup bertindak kejam di luar batasan akal.
Guru mungkin tidak mampu untuk memberi didikan moral sepenuhnya kepada pelajar maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk jati diri anak-anak dengan penerapan agama dan adab sopan yang sempurna.
Jika bapa sendiri menjadi haruan makan anak, apa agaknya keperibadian generasi akan datang.
Jangan salahkan generasi muda atau akan datang jika kita sendiri pun tidak mampu menjadi khalifah terbaik untuk anak-anak.
Jangan pula disebabkan anak orang lain, kita boleh lepas tangan.
Sikap jaga tepi kain orang dalam konteks masa kini boleh diguna pakai kerana masyarakat boleh menjadi mata-mata kepada anak kita yang mungkin di depan baik di belakang belum tentu.