TMM 2020: Cari jalan pujuk pelancong Thailand

Iklan
Uzaidi Udanis

ALOR SETAR - Mekanisme terbaik perlu dirangka untuk meningkatkan jumlah kehadiran pelancong Thailand sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) berikutan bilangan mereka ke negara ini paling sedikit berbanding negara jiran lain.

Pengerusi Tourism Productivity Nexus (TPN), Uzaidi Udanis berkata, mengikut statistik 2018, kehadiran pelancong Thailand ke negara ini tidak sampai dua juta berbanding negara jiran lain seperti Singapura yang mencecah 10 juta pelancong.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau melihat negeri yang berdekatan dengan sempadan Thailand seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak perlu mencari pendekatan untuk menarik lebih ramai lagi pelancong dari negara itu sempena TMM 2020.

"Kedah sebagai contoh sebenarnya mempunyai tarikan kebudayaan dan sejarah lama yang mempunyai kaitan dengan negara tersebut. Apa yang ada ini boleh dibangunkan atau dipakejkan sebagai daya tarikan kerana banyak yang datang ke sini melalui rombongan.

Iklan

"Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menggembleng tenaga dengan agensi berkaitan seperti pelancongan, sejarah dan kebudayaan untuk menyatukan elemen ini yang boleh menjadi satu daya tarikan kepada pelancong dari Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika meraikan rombongan agensi pelancongan dari Satun, Thailand yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Muhamad Mahazi Ibrahim di Menara Alor Setar.

Iklan
Rombongan wakil agensi dari Satun Thailand diraikan dalam satu majlis makan malam di Menara Alor Setar selepas dibawa melawat beberapa kawasan pelancongan berpotensi di sekitar Alor Setar.

Uzaidi berkata, sehingga Jun lalu, statistik kedatangan pelancong Thailand ke negara ini kira-kira 800,000 orang sahaja dan pihaknya sedang mencari jalan dan berbincang dengan agensi pelancongan dari negara tersebut untuk meningkatkan lagi jumlah tersebut pada masa hadapan.

"TPN memanggil wakil agensi tempatan dari seluruh negeri utara untuk berbincang dan bertukar pendapat dengan wakil agensi Satun bagi mengenal pasti apa masalah sebenarnya yang dihadapi.

"Secara geografinya Malaysia dan Thailand hanya dipisahkan pintu sempadan sahaja dan sepatutnya kehadiran pelancong dari negara itu adalah antara yang tertinggi tetapi sebaliknya pula yang berlalu," katanya.

Menurutnya, pemain industri pelancongan terutamanya di sebelah utara perlu mencari kaedah terbaik untuk memujuk pelancong Thailand bukan sahaja untuk membantu mencapai sasaran kehadiran 30 juta pelancong sempena TMM 2020 tetapi cuba meningkatkan lagi bilangannya pada setiap tahun akan datang.